KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 4% hingga 5% tahun ini walaupun pertumbuhannya sederhana sebanyak 2.9% pada suku kedua tahun ini.
Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata pertumbuhan akan kekal sederhana bagi tempoh seterusnya pada tahun ini, berikutan rintangan luaran tetapi terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Menurut beliau, dengan persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang hampir kepada julat yang lebih rendah antara 4% hingga 5% pada 2023.
Jelasnya, pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan peningkatan guna tenaga dan pendapatan serta pelaksanaan projek berbilang tahun, manakala ketibaan pelancong dijangka terus meningkat, sekali gus menyokong aktiviti berkaitan pelancongan.

"Risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi semakin perlahan yang berpunca terutamanya daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.
“Walau bagaimanapun, terdapat faktor risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi seperti aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan projek yang lebih pantas,” katanya pada sidang media bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 hari ini.
Mengulas tentang inflasi keseluruhan dan inflasi teras, Abdul Rasheed berkata, ia diunjurkan terus sederhana pada separuh kedua tahun 2023.
Bagi separuh kedua tahun 2023, katanya, trend inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan lebih rendah mengikut jangkaan, sebahagiannya disebabkan oleh asas yang lebih tinggi bagi tempoh sama tahun lalu.
“Bagaimanapun, risiko terhadap prospek inflasi bergantung pada perubahan terhadap dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” ujar beliau. - DagangNews.com








