BNM arah iPay88 terus perkukuh kawalan keselamatan siber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM arah iPay88 terus perkukuh kawalan keselamatan siber

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Okt - Susulan selesainya penyiasatan forensik bebas, iPay88 (M) Sdn Bhd telah melaksanakan langkah pembendungan dan pembetulan yang sewajarnya bagi menangani kelemahan sistem mereka yang telah dikenal pasti. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga telah mengarahkan iPay88 untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi terus memperkukuh kawalan keselamatan siber dan infrastruktur IT mereka. 

 

"Kesemua langkah ini bertujuan memastikan insiden yang sama tidak berulang dan untuk melindungi daripada ancaman pada masa hadapan. BNM akan terus memantau rapi pelaksanaan langkah-langkah ini dan sekiranya perlu, akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan selanjutnya.

 

"BNM juga telah mengarahkan bank-bank dan syarikat pengeluar kad untuk terus mengekalkan tahap pengawasan yang tinggi terhadap aktiviti yang menggunakan kad yang mungkin berisiko. 

 

"Pihak bank atau pengeluar kad akan menghubungi pelanggan sekiranya sistem pemantauan mereka mengesan sebarang aktiviti kad yang mencurigakan," katanya.

 

Terdahulu, BNM merujuk kenyataan yang disiarkan pada 12 Ogos 2022 berhubung dengan iPay88, iaitu syarikat penyedia perkhidmatan gerbang pembayaran bagi institusi perbankan dan para peniaga.

 

Menurutnya, BNM ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem perbankan dan pembayaran di Malaysia kekal selamat dan terjamin. 

 

"Di bawah peraturan kad pembayaran sedia ada, pelanggan tidak akan dipertanggungjawabkan jika berlakunya penipuan transaksi atau transaksi tanpa kebenaran selagi pelanggan telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan kad pembayaran mereka," katanya.

 

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Dokumen Dasar Kad Kredit dan Dokumen Dasar Kad Debit. Pelanggan dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada bank mereka jika terdapat sebarang transaksi luar daripada kebiasaan atau transaksi tanpa kebenaran yang menggunakan kad mereka.

 

Untuk maklumat lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK melalui 1-300-88-5465 atau eLINK. - DagangNews.com