ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan satu senarai klasifikasi berkaitan perubahan cuaca dan prinsip berasaskan taxonomi bagi membantu menyelaraskan dan menilai risiko.
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, taxonomi akan menyediakan satu platform bagi kategori aktiviti ekonomi berdasarkan kesan terhadap perubahan iklim.
Katanya, ia juga bertujuan mempermudahkan aliran kewangan dalam aktiviti yang menyokong perubahan ke arah ekonomi karbon rendah.
"Malah, perkara ini penting kepada pihak berkepentingan luar yang memegang institusi kewangan untuk melihat sejauh mana komitmen terhadap penilaian risiko.
"Untuk itu, kami bekerjasama dengan institusi kewangan di Malaysia dalam usaha meningkatkan ketelusan dengan mengambil kira pertimbangan penilaian risiko yang boleh disepadukan dalam membuat sesuatu keputusan perniagaan," katanya dalam ucap tama pelancaran Forum Kewangan yang Inklusif dan Berdaya Mapan hari ini.
Menurut Shamsiah, pelaksanaan langkah itu melibatkan banyak agensi dan BNM ketika ini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Sekuriti, institusi kewangan dan beberapa rakan kerjasama melalui Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Cuaca.
Ini, katanya, akan memacu dan menyelaras sektor kewangan dalam menangani penilaian risiko.
"Selain itu, BNM juga terlibat secara aktif dengan beberapa agensi dan kementerian berkaitan bagi menyelaras institusi kewangan dan strategi perubahan iklim negara dan menangani kekangan yang dihadapi dalam pembiayaan hijau dan pelaburan," katanya. - Dagangnews.com








