KUALA LUMPUR 15 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari ini selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) meneruskan kenaikan kadar dalam mesyuarat terkininya semalam.
Menurut MIDF Research, Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan pendiriannya yang 'hawkish' sehingga inflasi jelas menunjukkan aliran rendah kepada sekitar 2%.
Katanya, dengan mengambil kira inflasi yang semakin berkurangan, ini juga dijangka menyokong kenaikan kadar yang lebih kecil dan membolehkan Fed berhenti seketika menaikkan kadar faedahnya.
"Bagaimanapun, kami melihat keputusan BNM untuk menaikkan OPR bukan sahaja dipengaruhi oleh keputusan Fed ataupun prospek ekonomi AS, tetapi ia juga bergantung kepada asas ekonomi Malaysia termasuk permintaan domestik yang kukuh.
"Namun, kami menjangkakan bank pusat akan meneruskan langkah normalisasi dasar dan menaikkan OPR sehingga 3% pada awal 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pengerusinya, Jerome Powell berkata, Fed akan terus menaikkan kadar faedah tahun depan walaupun ekonomi negara itu mungkin terjerumus kepada kemelesetan.
Menurutnya, harga yang lebih tinggi perlu dibayar seandainya bank pusat AS tidak menangani inflasi dengan sepenuhnya.
Isyarat terkini inflasi yang perlahan tidak memberikan keyakinan bahawa usaha itu sudah membuahkan hasil setakat ini.
Fed mengunjurkan akan terus menaikkan kadarnya sehingga melebihi 5% pada 2023, paras yang tidak pernah disaksikan sejak kemelesetan ekonomi pada 2007.
Semalam, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS telah menaikkan kadar itu sebanyak 50 mata asas kepada 4.25 hingga 4.5%, tertinggi dalam tempoh 15 tahun.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research mengekalkan unjurannya bahawa BNM akan menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas menjelang Mac 2023.
"Ini berikutan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan tekanan inflasi teras yang lebih tinggi," jelasnya. -DagangNews.com








