BNM akan campur tangan dalam pasaran forex bagi membendung pergerakan keterlaluan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM akan campur tangan dalam pasaran forex bagi membendung pergerakan keterlaluan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran tukaran mata wang asing (forex) bagi membendung pergerakan yang dianggap keterlaluan, sejajar dengan mandat statutori bank pusat itu.

 

Langkah itu adalah berikutan perkembangan terkini dalam pasaran kewangan yang menjejaskan kadar tukaran ringgit.

 

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, walaupun ringgit terus terkesan dengan perkembangan global, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka dalam jajaran 4% hingga 5% selain usaha pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal kerajaan.

 

"Walaupun nilai ringgit akan terus kekal ditentukan oleh pasaran, BNM menjangkakan langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan bahawa ringgit mencerminkan dengan lebih baik asas negara ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) selepas mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkembangan semasa membabitkan pergerakan ringgit, hari ini.

 

Mesyuarat itu merumuskan, persekitaran luar terus menjadi pemacu utama prestasi ringgit, terutamanya jangkaan pasaran yang berubah terhadap kadar faedah lebih tinggi di kebanyakan ekonomi utama, yang akibatnya, meningkatkan risiko kemungkinan berlaku kelembapan dalam ekonomi global.


 

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid
                                      Adnan Zaylani Mohamad Zahid

 


FMC antara lain melihat pergerakan ringgit sejak akhir-akhir ini adalah keterlaluan jika mengambil kira faktor seperti momentum pertumbuhan Malaysia yang dijangka berterusan tahun ini selepas merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara yang tertinggi pada 2022, disokong oleh aktiviti pelaburan domestik berterusan, keadaan pasaran buruh yang bertambah baik serta aktiviti pelancongan lebih tinggi.

 

Jawatankuasa itu juga mendapati, terdapat kaitan yang kukuh antara ringgit dan renminbi yang boleh dijelaskan oleh hubungan perdagangan yang besar antara Malaysia dan China.

 

Jawatankuasa itu juga maklum bahawa walaupun turun naik ringgit konsisten dengan mata wang serantau, tahap ketidaktentuannya adalah lebih tinggi dan melencong dari pergerakan relatif terdahulu. 

 

Bagaimanapun, pasaran kewangan pesisir kekal dalam kedudukan yang mantap dan turun naik ringgit masih kekal antara yang terendah dalam kalangan mata wang serantau.

 

Sementara itu, dalam pasaran bon, pegangan bukan residen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kekal hampir kepada angka purata jangka panjang iaitu 23.5%. 

 

MGS terus menawarkan pulangan sebenar yang positif dan anggota FMC maklum dengan minat berterusan dalam kalangan pelabur asing terhadap pasaran bon tempatan.


 

parafrasa

 


Dalam mesyuarat itu, ahli FMC turut membincangkan pemerhatian bahawa syarikat dan korporat dan pengeksport meraih banyak hasil dalam pertukaran asing, ditunjukkan oleh baki akaun mata wang asing yang berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan dalam aliran pasaran.

 

Bagi menguruskan risiko pertukaran asing, syarikat korporat dan pengeksport digalakkan untuk mengambil peluang daripada tahap pertukaran asing yang menarik ini bagi mengoptimumkan baki mata wang asing mereka.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM), Chu Kok Wei, berkata pasaran kewangan di Malaysia terus beroperasi dengan teratur dan kekal kondusif untuk memenuhi keperluan pelanggan.

 

"Kami mengalu-alukan panduan BNM terhadap ringgit dan perkembangan pasaran akhir-akhir ini. Kami akan kekal menyokong usahanya dalam pasaran domestik," katanya.- DagangNews.com