KUALA LUMPUR 23 Nov - BMI, cabang kepada Fitch Solutions, telah menyemak naik unjuran harga minyak sawit mentah kepada RM3,515 satu tan bagi tahun 2024 daripada RM3,400 satu tan.
Bagaimanapun, unjuran berkenaan adalah 7.5% lebih rendah daripada unjurannya untuk 2023.
“Kami masih berpandangan bahawa sektor minyak sawit global akan menjana lebihan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tan pada kedua-dua 2022/23 dan 2023/24, berbanding lebihan purata lima musim lengkap terbaharu sebanyak tiga juta tan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu laporan hari ini.
“Dalam jangka masa terdekat, sehingga akhir 2023 dan memasuki awal 2024, pasaran minyak sawit akan menghadapi beberapa cabaran kerana permintaan import India cenderung berkurangan semasa musim sejuk domestiknya, satu kelainan bermusim yang boleh dipertingkatkan dengan mengambil kira pengumpulan stok minyak makan di India baru-baru ini.
"Namun, pada masa yang sama, pembelian awal (dari China) menjelang Tahun Baharu Cina pada 10 Februari 2024 akan mengurangkan kesan kelemahan permintaan India,” katanya.
Risiko utama terhadap unjuran harga minyak sawitnya pada 2024 dan 2025 masih lagi fenomena El Nino yang aktif pada masa ini, yang dianggap boleh berterusan sehingga suku kedua 2024 dengan 35% peluang untuk berkembang menjadi El Nino yang lebih kuat menjelang akhir tahun 2023.
Menurut firma itu, fenomena cuaca ini dikaitkan dengan keadaan yang lebih kering daripada biasa di kebanyakan kawasan Asia Tenggara, yang menimbulkan risiko negatif kepada penanaman kelapa sawit di Indonesia dan Malaysia, dengan potensi impak negatif terhadap hasil mula menjadi ketara pada separuh kedua 2024.
“Oleh yang demikian, kami menjangkakan harga minyak sawit mengikuti trajektori berbentuk U menjelang 2024.
“Kami juga menekankan taburan hujan di bawah normal baru-baru ini di Indonesia, dengan bahagian selatan pulau Sumatera dan Kalimantan khususnya menerima hujan yang agak sedikit sejak tiga bulan lalu,” katanya.
Bagi tempoh jangka pendek, BMI berkata ia mengekalkan unjuran harga purata RM3,800 setiap tan untuk niaga hadapan minyak sawit tiga bulan yang tesenarai di Bursa Malaysia pada tahun ini.
Sehingga 21 November, niaga hadapan minyak sawit telah diniagakan pada paras harga purata RM3,797 satu tan setakat tahun ini.
Firma itu berkata, sepanjang suku keempat 2023 sehingga kini, harga minyak sawit telah membentuk corak U, yang pada mulanya berkurangan daripada RM4,040 satu tan kepada RM3,551 satu tan pada 11 Oktober sebelum melantun semula untuk menguji ambang RM4,000 satu tan.
“Kekuatan harga baru-baru ini merentasi kompleks minyak makan, disebabkan faktor termasuk hujan di bawah paras normal di Brazil sejak tiga bulan lalu, daya tahan berterusan permintaan import minyak makan India dan jumlah pembelian kacang soya asing di China, antara lain, telah terbukti lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi kemerosotan pasaran (minyak) Brent selepas pertengahan Oktober,” tambahnya. - DagangNews.com








