Bina kepakaran dalam bidang pengurusan rantaian bekalan industri halal   | DagangNews Skip to main content

Bina kepakaran dalam bidang pengurusan rantaian bekalan industri halal  

Oleh Muhamad Afiq bin Abd Razak

BIDANG pengurusan dalam industri halal merupakan bidang yang semakin berkembang di Malaysia.

 

Perkembangan ini adalah rentetan daripada perkembangan industri halal dalam negara begitu juga di peringkat antarabangsa.

 

Di samping itu, Malaysia sebagai negara perintis kepada standard halal kini mula bergerak ke arah memartabatkan profesionalisme industri halal sebagai satu kepakaran baharu.

 

Ini telah terbukti apabila standard baharu dikeluarkan iaitu MS2691:2021 Halal Profession – General Requirements.

 

Pencapaian ini juga secara langsung menambahbaik peranan eksekutif halal yang bertanggungjawab menguruskan pengimplementasian amalan halalan tayyiban di industri.

 

Bagi merealisasikan kepakaran dan profesionalisme halal, antara bidang yang boleh diceburi adalah dalam pengurusan rantaian bekalan halal.

 

Aspek halalan tayyiban tidak seharusnya hanya melihat kepada bahan ramuan semata-mata tetapi perlu juga melihat dari aspek pengendalian seperti proses penyimpanan, pergudangan dan pengangkutan.

 

Skim Pensijilan Malaysia (SPHM) juga tidak terhad kepada produk, tetapi juga terhadap perkhidmatan seperti logistik.

 

 

parafrasa

 

Perlengkapan kepada semua komponen ini dapat menjamin satu ekosistem halal yang mampan dan utuh di mana integriti halalan tayyibannya terpelihara dari bahan mentah sehinggalah kepada pengguna.

 

Maka untuk membina kepakaran dalam pengurusan rantaian bekalan industri halal, ia boleh dilihat kepada dua pendekatan dalam disiplin ilmu pengurusan rantaian bekalan halal.

 

Yang pertama – pengurusan dari sudut pematuhan keperluan pensijilan iaitu melibatkan bahan atau barangan, tatacara pengendalian atau disebut sebagai elemen intrinsik.

 

Yang kedua – pengurusan dari sudut pemeliharaan keutuhan rantaian bekalan halal itu sendiri atau yang disebut sebagai elemen ekstrinsik.

 

Disiplin pertama adalah memfokuskan kepada aspek pematuhan pensijilan iaitu mengikut kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) dan Standard Malaysia seperti MS1500:2019.

 

Asas penting yang perlu dikuasai juga adalah dari sudut kefahaman terhadap asas-asas hukum fiqh, ilmu syariah, asas fatwa kerana ia menjadi inti pati kepada pelaksanaan amalan pematuhan halalan tayyiban.

 

Asas-asas ini penting bagi menyiapkan seseorang itu mampu memahami kerangka hukum kemudian diterjemahkan kepada pengamalan industri.

 

Elemen kedua pula merujuk kepada capahan disiplin yang membincangkan tentang keadaan pengurusan rantaian bekalan terhadap produk halal itu sendiri.

 

 

parafrasa

 

 

Antaranya ialah seperti melihat kepada aspek teori-teori pengurusan, aspek kecekapan, ketersusunan, capaian global, fasiliti dan kemudahan seperti Halal Park, pelabuhan perkhidmatan halal, analitik dan dataraya, serta pengurusan risiko gangguan rantaian bekalan.

 

Dengan kata lain yang tidak dikecilkan skopnya pada pematuhan standard semata-mata, tetapi lebih kepada penjagaan dan pemeliharaan rantaian bekalan itu berterusan dan tidak putus. Ini kerana pengurusan dalam rantaian bekalan industri halal adalah dinamik.

 

Maka, dengan gabungan kedua-dua komponen ini dapat mempersiapkan kepakaran dan profesionalisme dalam disiplin pengurusan industri halal yang diperlukan di mana ia lebih menyeluruh di samping kompetitif dan mampu berdaya saing di peringkat global. – DagangNews.com

 

Muhamad Afiq bin Abd Razak adalah Pensyarah Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam