Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Mei - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan hari pertama Mei dengan lemah ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap jangkitan kes COVID-19 yang mungkin menyaksikan pelaksanaan semula perintah sekatan.
Petang ini, indeks FBM KLCI susut 10.92 mata kepada 1,590.73 mata dengan 6.64 bilion saham diniagakan bernilai RM4.23 bilion.
Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 912 berbanding 301 manakala 349 kaunter tidak berubah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini memaklumkan aktiviti rentas negeri tidak akan dibenarkan hingga 17 Mei ini sehingga pengumuman seterusnya.
Ini berikutan Kementerian Kesihatan mengesan 13 kluster jangkitan COVID-19 berkaitan aktiviti rentas negeri sejak April lalu termasuk 1 kluster di Kelantan yang dikesan berkaitan varian dari Afrika Selatan membabitkan 10 individu.
Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota kajian berkata, pelabur mungkin mengambil sikap berhati-hati memandangkan kes-kes harian COVID-19 yang disahkan terus meningkat.
Pasaran tempatan bagaimanapun, meraih sedikit pemangkin apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit naik kepada 53.9 pada April berbanding 49.9 pada Mac, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan.
Sementara itu, menurut Reuters, pasaran saham Asia merosot pada Isnin memandangkan peningkatan ketara jangkitan COVID-19 meningkatkan kebimbangan terhadap langkah kawalan dan turut menjejaskan ekonomi.
Pakar Strategi DailyFX, Margaret Yang berkata, situasi pandemik yang semakin buruk menyebabkan pelabur menilai risiko terhadap kawalan sempadan yang ketat dan menangguhkan pembukaan semula ekonomi.
Harga minyak juga susut apabila gelombang kedua semakin meningkat di India mengurangkan pemulihan bagi permintaan minyak di negara berkenaan, mengimbangi keyakinan terhadap penggunaan yang pulih di negara membangun dan China pada separuh kedua tahun ini.
Niaga hadapan Brent bagi Julai jatuh 48 sen atau 0.7% kepada AS$66.28 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) bagi Jun menurun 47 sen atau 0.7% kepada AS$63.11 setong.
Kenanga Research berkata, data ekonomi Malaysia terutama PMI dan IPI dapat memberi sokongan kepada ringgit minggu ini dengan bergerak dalam julan antara RM4.08 hingga RM4.10.
Tetapi, katanya, mata wang tempatan itu boleh melemah sekiranya hasil perbendaharaan AS meningkat disokong data ekonomi AS yang dikeluarkan minggu ini.
Ketika ditutup petang ini, ringgit berada pada RM4.1030/1055 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan Jumaat pada RM4.0870/0930. - DagangNews.com








