KUALA LUMPUR 24 Julai - Betamek Bhd telah memperoleh kontrak RM436.5 juta bagi membekalkan pelbagai alat ganti elektronik untuk model kereta baharu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Dalam satu kenyataan media hari ini, pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik itu berkata anak syarikatnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd telah menerima surat arahan (LOI) daripada Perodua.
Menurut LOI tersebut, pembekalan alat ganti elektronik dijangka bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (4QFY25).
Betamek berkata kontrak itu berlangsung selama enam tahun dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk FY25 dan sepanjang tempoh kontrak tersebut.
Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir berkata permintaan untuk produk audio visual kenderaan dan aksesori kenderaan dijangka berkembang seiring dengan peningkatan permintaan untuk kenderaan pelanggan utamanya.
“Walaupun insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang telah tamat bulan lepas, kami yakin permintaan untuk produk audio visual dan aksesori kenderaan kami akan terus berkembang seiring dengan permintaan kukuh untuk kenderaan pelanggan utama kami,” tambahnya.
Menurut Betamek, Perodua baru-baru ini mengumumkan bahawa ia dalam kedudukan baik untuk memenuhi 330,000 pengeluaran dan 314,000 sasaran pendaftarannya tahun ini.
Sehingga akhir Jun, Perodua telah mengeluarkan 153,813 kenderaan, meningkat 17% daripada 131,641 unit setahun sebelumnya.
Pada waktu penulisan, saham Betamek menokok 1 sen atau 2.1% kepada 49 sen, memberikannya modal pasaran berjumlah RM220.5 juta. - DagangNews.com








