Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion, wujudkan 156,361 peluang pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 catat jualan RM2.4 bilion, wujudkan 156,361 peluang pekerjaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 22 Jun - Nilai jualan Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada 2022 merekodkan jualan sebanyak RM2.4 bilion dan mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

DOSM buat julung kalinya menerbitkan Laporan Kajian Khas Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 yang memaparkan statistik berkaitan nilai jualan, bilangan pekerja dan bilangan gerai perniagaan. Statistik itu diterbitkan di peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penemuan laporan itu adalah berdasarkan kajian yang dijalankan DOSM bermula 3 hingga 29 April 2022 pada bulan Ramadan.

 

Beliau berkata, kajian itu meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

"Daripada segi pengumpulan data, kaedah yang digunakan ialah temuramah secara bersemuka, pemerhatian dan panggilan telefon. Selain itu, DOSM juga menggunakan data pentadbiran yang diperoleh daripada PBT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dr Mohd Uzir berkata, Selangor mendominasi nilai jualan bagi Bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan merekodkan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang. 

 

Beliau berkata, ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan RM0.4 bilion (10,993 pekerja) dan Johor, RM0.3 bilion (22,423 pekerja).

 

 

dosm

 

 

"Ketiga-tiga negeri ini menyumbang sebanyak 55.5% kepada nilai jualan keseluruhan. Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti Johor Bahru, RM126.3 juta dan Ulu Langat, RM117.9 juta," katanya.

 

Beliau berkata, penemuan utama Bazar Ramadan menunjukkan Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta. 

 

"Seterusnya bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, Johor Bahru adalah kedua tertinggi iaitu RM113.6 juta dan diikuti Ulu Langat, RM110.6 juta.

 

"Sementara itu, Selangor mencatatkan bilangan pekerja Bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang. Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 8,448 orang, Johor Bahru adalah kedua tertinggi dengan 8,110 orang, diikuti Ulu Langat, 5,497 orang," katanya.

 

Sementara itu, Dr Mohd Uzir memaklumkan, bagi prestasi Bazar Aidilfitri Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM115.8 juta, diikuti Melaka RM66.7 juta dan Johor RM44.4 juta.

 

Beliau berkata, di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta.

 

"Daripada segi jumlah pekerja, Selangor mencatatkan jumlah pekerja tertinggi bagi Bazar Aidilfitri iaitu seramai 4,485 orang. Melaka adalah yang kedua dengan 4,215 orang dan Terengganu 2,442 orang. Manakala di peringkat daerah, Melaka Tengah mencatatkan bilangan pekerja tertinggi seramai 3,838 orang, Klang kedua tertinggi iaitu 2,754 orang dan diikuti Kuala Terengganu seramai 968 orang," katanya. - DagangNews.com