Baru sahaja dilancarkan, unit bukan bumiputera Fasa 2B Senadi Hills habis dijual - UEM Sunrise | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Baru sahaja dilancarkan, unit bukan bumiputera Fasa 2B Senadi Hills habis dijual - UEM Sunrise

Projek kediaman bertanah, Senadi Hills oleh UEM Sunrise di Iskandar Puteri, Johor mencatatkan kadar pengambilan kukuh apabila semua unit bukan bumiputera dijual sepenuhnya.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Feb - Fasa baharu projek kediaman bertanah, Senadi Hills oleh UEM Sunrise di Iskandar Puteri, Johor mencatatkan kadar pengambilan kukuh apabila semua unit bukan bumiputera dijual sepenuhnya dalam tempoh kurang dua bulan selepas pelancaran.

 

Unit bumiputera bagi Fasa 2B Senadi Hills itu yang dijual pada harga bermula RM783,650 pula menyaksikan 86% telah ditempah sejak pelancarannya pada 18 Disember 2023.

 

Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, Fasa 2B Senadi Hills merangkumi 91 buah rumah teres dua tingkat dengan keluasan 22 kaki x 70 kaki dan saiz binaan 2,222 kaki persegi (kps).

 

Katanya, rumah berkenaan dilengkapi dengan empat bilik tidur dan empat bilik mandi untuk kemudahan dan ruang peribadi tambahan untuk setiap ahli keluarga.

 

"Ruang legar di tingkat atas boleh dijadikan sebagai kawasan sosial untuk keluarga beramah mesra dan setiap unit juga mempunyai anjung kereta yang luas untuk dua kereta," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut beliau, Fasa 2B Senadi Hills dijangka siap pada hujung suku keempat tahun 2025.

 

Katanya, tiga fasa sebelum ini merekodkan jualan 100% dengan yang terbaharu Fasa 2A dilancarkan pada Jun, 2023.

 

“Ciri-ciri yang dimahukan pelanggan diambil kira dalam reka bentuk, ini menjadikan wujudnya daya tarikan yang baik kepada projek hartanah ini.

 

"Keputusan positif menunjukkan bukti kualiti pembangunan kami, terutamanya NEST Siri di mana kami mengutamakan keperluan keluarga,” jelasnya.

 

Terletak di bandar raya antarabangsa Iskandar Puteri dan tidak jauh dari bandaraya Singapura, Senadi Hills mudah diakses dari Lebuh Kota Iskandar dan Jalan Ismail Sultan (Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar).

 

Sementara itu, UEM Sunrise berkata, bagi menangani permintaan yang semakin meningkat di Johor, pembangunan rumah teres dua tingkat Aspira Hills, dirancang untuk dilancarkan pada separuh keua sebagai sebahagian daripada pelan induk Gerbang Nusajaya.

 

UEM Sunrise juga dijangka melancarkan lebih banyak rumah bertanah milikan bebas di Gerbang Nusajaya dan Puteri Harbor dalam tahun ini.- DagangNews.com