KUALA LUMPUR 8 Ogos - Barakah Offshore Petroleum Berhad menerusi anak syarikatnya, PBJV Group Sdn. Bhd. menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Brunei Shell Petroleum Co Sdn. Bhd. bagi kontrak penggantian Pelampung Tambatan Titik Tunggal (SPM2).
Kumpulan itu berkata, skop utama kontrak itu adalah bagi membekalkan kerja-kerja kejuruteraan, pembekalan bahan, fabrikasi, pemuatan, penyahtauliahan, pemasangan dan pentauliahan satu unit SPM2 untuk Brunei Shell Petroleum di persisir pantai Brunei.
Bagaimanapun, nilai sebenar kontrak itu tidak dinyatakan.
"Kontrak itu akan dimulakan serta-merta, dan tarikh penghantaran dijangka menjelang suku ketiga 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Ia dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.
Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak termasuk tetapi tidak terhad kepada risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan, perubahan harga bahan dan faktor logistik.
Kumpulan itu mencipta rekod prestasi dan kepakarannya untuk menjalankan pemasangan dan pentauliahan peralatan mekanikal untuk projek seperti ini.- DagangNews.com








