KUALA LUMPUR 29 Nov - Tambahan nilai e-dompet RM100 di bawah program eMadani kepada semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun boleh ditebus mulai 4 Disember ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini akan memberi manfaat kepada 10 juta orang, dan melibatkan kos RM1 bilion.
Beliau berkata, tempoh penebusan adalah sehingga 20 Februari 2024.
Empat penyedia e-dompet akan terlibat dalam program itu, walaupun Anwar tidak menyebut namanya.
Anwar membuat pengumuman itu semasa membentangkan Bajet 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, permohonan rebat sehingga RM2,400 untuk membeli motosikal elektrik juga akan dibuka pada Disember.
Ini adalah untuk mereka yang berpendapatan kurang daripada RM120,000 sebulan dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan pemandu beralih daripada bahan api fosil.

Bajet 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Isnin dengan undi suara, lapor Malaysiakini.
Bajet itu kini akan dibahaskan oleh Dewan Negara, dan ia juga dijangka lulus dengan mudah.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, sebanyak empat penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet mengambil bahagian dalam program itu
Katanya, selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat turut akan memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran sepanjang tempoh program.
"Tempoh pendaftaran dan tuntutan eMadani bermula dari 8 pagi pada 4 Disember 2023 sehingga 20 Februari 2024 melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna.
"Manakala pengunaan kredit eMadani serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sahaja sehingga 29 Februari 2024," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut MOF, syarat-syarat kelayakan bagi program e-tunai tersebut, adalah penerima warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas pada 1 Januari 2023 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November 2023 atau mempunyai pendapatan dan pendapatan tersebut adalah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 15 Julai 2023.
Katanya, kredit eMadani juga boleh dimanfaatkan menerusi peruncit/peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan. - DagangNews.com








