KUALA LUMPUR 28 Feb - Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM704.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember (FY21), susut 3.3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan bukan berasaskan dana lebih rendah dan perbelanjaan operasi lebih tinggi, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tahun kewangan itu, pendapatan bukan berasaskan dana menurun RM175.5 juta, sebahagian besar disebabkan oleh pendapatan pelaburan lebih rendah, khususnya laba bersih lebih rendah daripada penjualan kertas pelaburan.
Pengurangan ini telah diimbangi oleh kerugian modifikasi lebih rendah berikutan penyediaan moratorium pembiayaan kepada pelanggan.
Kumpulan mengiktiraf kerugian modifikasi sebanyak RM48.9 juta bagi tempoh dalam tinjauan berbanding RM136.4 juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, BIMB mencatatkan PBZT sebanyak RM76.4 juta, susut 62% berbanding RM201.9 juta bagi tempoh sama 2020 yang mana sebahagian besarnya disebabkan unjuran pembiayaan terjejas dan pendahuluan lebih tinggi pada suku tersebut.
Nisbah pembiayaan terjejas kasar BIMB adalah 0.96% setakat 31 Disember 2021 (berbanding 0.67% bagi FY20). Namun, restasi itu kekal lebih baik daripada purata industri sebanyak 1.44%.
Setakat 31 Disember 2021, Nisbah Jumlah Modal Kumpulan kekal kukuh pada 18.6%, seterusnya menyediakan penimbal yang mencukupi untuk menyerap kerugian dan menyokong pertumbuhan perniagaan.
Jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 7.4% tahun ke tahun untuk berada pada RM80.2 bilion pada akhir 31 Disember 2021, manakala aset bersih sesaham berada pada RM3.08.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pembukaan semula ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2021 telah menunjukkan kesan positif ke atas kualiti aset kumpulan, terbukti melalui penurunan mendadak dalam jumlah akaun di bawah program bantuan pembayaran.
Katanya, dari segi pelanggan runcit, permintaan untuk Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) adalah minimum dan kumpulan akan terus menawarkan pelbagai jenis bantuan kewangan bagi menyokong keperluan pelanggan yang pelbagai.
"Walaupun berdepan dengan persekitaran yang terus mencabar, Bank Islam akan kekal komited dalam mengukuhkan lembaran imbangan, mengekalkan kualiti aset yang kukuh dan meningkatkan lagi kecekapan kos.
“Dalam menerima perubahan yang dibawa oleh pandemik, kumpulan akan terus melaksanakan transformasi digital untuk mengukuhkan pertumbuhan perniagaan jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com








