Bank Islam bakal raih manfaat daripada peningkatan pinjaman PKS melalui inisiatif GEAR-Up MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam bakal raih manfaat daripada peningkatan pinjaman PKS melalui inisiatif GEAR-Up MOF

Bank Islam dalam kedudukan yang baik untuk menarik pendapatan lebih kukuh pada 2H24. Gambar RSP

KUALA LUMPUR 5 Sept - Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh beberapa faktor.

 

Beberapa firma penyelidikan optimis bank akan meraih pendapatan yang baik kerana kemampuan mengembangkan buku pinjaman segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif GEAR-Up Kementerian Kewangan (MoF), perkhidmatan khusus yang ditawarkan oleh cawangannya, persaingan deposit tetap (FD) yang tidak ketat dan kenaikan gaji penjawat awam.

 

MIDF Research berkata, program GEAR-Up dapat membantu BIMB memperkukuh segmen PKS bank itu  yang kurang berprestasi.

 

MoF menerajui program yang bertujuan untuk mensinergikan usaha merentasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama.

 

Enam GLIC terlibat dalam inisiatif itu: Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan (Inc), Permodalan Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

 

ARTIKEL ERKAITAN: Enam GLIC labur RM120 bilion dalam negara menerusi program GEAR-uP Kementerian Kewangan

 

GLIC ini secara kolektif akan melabur RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam di bawah program pelaburan sedia ada.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini menunjukkan potensi ketersediaan modal kos rendah untuk pembiayaan mikro.

 

“Walaupun kuantum pembiayaan sedemikian masih tidak menentu, BIMB berkemungkinan boleh mewujudkan hubungannya dengan syarikat mikro yang memerlukan pembiayaan.

 

“Apabila syarikat mikro ini berkembang dan beralih kepada PKS sepenuhnya, BIMB boleh memasukkan mereka dalam portfolio PKS bank itu. Ringkasnya, ini akan meningkatkan keupayaan BIMB untuk mengembangkan buku pinjaman PKS yang kurang memberangsangkan berbanding bank lain dengan potensi modal kos rendah,” kata firma penyelidikan itu.

 

Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) berkata, ia menjangkakan margin pembiayaan bersih (NFM) BIMB bagi suku ketiga 2024 (3Q24) akan terus berkembang berikutan pertumbuhan pembiayaan yang lebih pantas, persaingan FD yang tidak ketat dan langkah untuk menurunkan kadar FD pada bulan Ogos.

 

"Pada pandangan kami, pertumbuhan kredit yang mungkin lebih cepat akan membantu mengoptimumkan kadar FD dan memperluaskan NFM juga. Pengurusan berkongsi bahawa saluran pinjaman korporatnya adalah kukuh dan dijangka akan memberi impak pada separuh kedua tahun ini, sementara segmen runcit dilihat akan mendapatkan semula momentum dengan permintaan yang lebih kuat mengikut musim.

 

“Secara berasingan, caj bukan tunainya dijangka stabil pada tahap semasa, memandangkan kualiti aset yang stabil. Walau apa pun, kami secara amnya yakin dengan perlindungan kerugian pembiayaan bank melebihi 100%, kerana ini menyediakan penampan untuk menampung sebarang potensi kemerosotan dalam kualiti aset,” kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com