Banjir kilat Subang Parade: Kawasan parkir bawah tanah dibuka semula pada 7 November | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banjir kilat Subang Parade: Kawasan parkir bawah tanah dibuka semula pada 7 November

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Subang Parade, sebuah hartanah utama milik Hektar REIT, kini beroperasi seperti biasa selepas dilanda banjir kilat akibat hujan lebat kira-kira pukul 5 petang semalam. 

 

Bagaimanapun, kawasan di tingkat bawah yang terjejas teruk, akan beroperasi sepenuhnya esok.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Property Services Sdn Bhd (Pengurus Harta Hektar REIT), Aldela Puspa Nordin berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah itu bekerja keras menjalankan usaha bantuan banjir dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung, penyewa dan pekerjanya dalam tempoh mencabar ini.

 

 

Beliau berkata, pihaknya berdedikasi untuk menjaga keselamatan dan kebajikan pengunjung, penyewa dan pekerja yang dihargai. 

 

"Pasukan kami giat berusaha mengurangkan sebarang gangguan perniagaan dan mempercepatkan proses membaik pulih pusat beli-belah untuk kemudahan semua.

 

"Kejadian ini telah dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, termasuk Jabatan Bomba & Penyelamat dan Majlis Bandaraya Subang Jaya, untuk siasatan dan langkah mencegah berulangnya peristiwa yang tidak diingini seperti ini di masa akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, banjir kilat itu menjejaskan bahagian tingkat bawah dan tingkat bawah tanah pusat beli-belah itu.

 

subang parade

 

 

 

subang parade

 

 

subang parade

 

 

Walaupun tiada sebarang laporan kecederaan, Subang Parade mengalami kerosakan di beberapa bahagian, termasuk stor, kawasan umum dan kemudahan parkirnya.

 

Subang Parade menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan masyarakat atas sokongan mereka dan kepada Jabatan Bomba & Penyelamat atas tindak balas pantas dan segera. - DagangNews.com