IPOH 8 Nov - Bangunan bersejarah bekas Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh akan dikenali sebagai Balai Seni Negara Ipoh yang juga pertama seumpamanya di luar ibu negara.
Ia berperanan sebagai pusat para penggiat industri seni dalam merancakkan program seni visual kontemporari terutama di bandar raya Ipoh.
Kerja-kerja membaik pulih seluruh bangunan bersejarah ini mengambil tempoh selama 18 bulan bermula 21 November 2022 sehingga Mei 2024.
Sejarah pembinaan bangunan Ibu Pejabat Pos Lama Ipoh ini bermula tahun 1913 dan siap sepenuhnya pada tahun 1916 dengan seni bina neo klasik rekaan arkitek kerajaan British, A.B. Hubback.
Bangunan ini pada mulanya adalah Pejabat Pesuruhjaya British seterusnya berfungsi sebagai Pejabat Pos dan Telegraf dari tahun 1928 hingga 1983.
Bersebelahannya ialah Dewan Bandaran Ipoh atau Ipoh City Hall, juga salah sebuah bangunan warisan era kolonial yang dibina oleh arkitek sama dan menjadi tumpuan pelancong ke sini.


Terletak berhadapannya ialah Stesen Keretapi Ipoh yang terkenal dengan bangunan menara seperti Taj Mahal manakala sebelahnya Kompleks Mahkamah.
Usaha ini susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
MoU ditandatangani antara Ketua Pengarah, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad dan Darul yang Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin.
Ia disaksikan Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi.

Menurut Saraya Arbi, MoU itu telah membentuk satu perancangan lebih teratur terhadap inisiatif mewujudkan Balai Seni Negara Ipoh yang juga bakal melonjakkan pelancongan setempat.
Antaranya melibatkan pembangunan infrastruktur dalaman dan susun atur ruang pameran.
“Melalui sokongan dan kerjasama entiti seni tempatan dan luar, besarlah harapan saya agar Balai Seni Negara Ipoh ini dapat menjadi hub seni popular untuk pelaksanaan program seni visual kontemporari,” ujarnya.
Sementara itu kata Rumaizi, industri seni visual negara kini semakin mendapat perhatian terutamanya penglibatan generasi baharu.
“Industri seni visual ini bakal menjadi produk pelancongan baharu yang berpontensi membantu menjana ekonomi setempat mahupun negara.
“Ini adalah sebahagian daripada wilayah pelancongan Greater Ipoh sebagai destinasi bertahap antarabangsa," ujarnya. - DagangNews.com








