Bakal Menteri Pertahanan galas tanggungjawab besar pada ATM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bakal Menteri Pertahanan galas tanggungjawab besar pada ATM

Isu kelewatan menyiapkan LCS telah memberi perspektif kurang baik pada kemampuan industri pertahanan negara dan memerlukan tindakan tegas Menteri Pertahanan baharu pasca PRU15..
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 16 Nov - Tugas besar perlu digalas oleh Menteri Pertahan (Menhan) yang dilantik dalam Kabinet baharu kerajaan nanti khususnya bagi merealisasikan pelan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Sesiapa pun yang bakal diberikan portfolio itu juga hendaklah mempunyai kefahaman tinggi tentang ATM termasuk isu-isu serantau dan geopolitik yang membabitkan negara ini.

 

Atas sebab itu jawatan Menhan tidak boleh diberikan pada sebarang Ahli Parlimen semata-mata untuk memenuhi kuota Menteri Kabinet, tambahan pula ia merupakan jawatan menteri kanan.

 

Ahli Parlimen yang dilantik wajib mempunyai kesungguhan politik untuk melaksana pemodenan ATM secara total dan bukan sekadar mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) di atas kertas.

 

Setidak-tidaknya, harapan untuk melihat semua projek pemodenan ATM yang telah diumumkan sebelum Pilihanraya Umum ke-15 dilaksanakan tanpa ada penangguhan.

 

 

mindef
Bakal Menhan pada Kabinet baharu nanti hendaklah mempunyai kemampuan politik yang tinggi dalam melaksanakan pemodenan ATM.

 

 

Antara tugas besar Menhan adalah meneruskan Fasa Mobilisasi projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) selama enam bulan bermula Jun lalu sehingga Disember untuk melengkapkan projek berkenaan.

 

Pihak Naval Group dari Perancis juga telah menyatakan persetujuan dan menyokong penuh usaha kerajaan untuk meneruskan projek LCS dan berjanji memberikan komitmen.

 

Projek LCS sejak setahun lalu menjadi isu duri dalam daging apabila kelewatan menyiapkan enam buah kapal perang ini telah memberi perspektif tidak elok kepada negara.

 

Ia juga menjadi cakap-cakap dalam kalangan pemain industri maritim dunia berhubung.

 

Menhan juga harus ambil tahu apa bentuk ancaman yang dihadapi dan jangkaan dalam merancang melengkapi pemodenan ATM.

 

ATM hari ini merupakan sebuah angkatan perang konvensional dan bukan lagi berperang di dalam hutan sepertimana semasa era memerangi pengganas komunis.

 

Justeru, kelengkapan yang mesti ada hendaklah menepati dengan keperluan sebuah angkatan perang moden termasuklah dalam aspek pembangunan latihan.

 

Sebenarnya, ATM bukan sedang melalui fasa pemodenan yang sebenar tetapi lebih kepada menggantikan aset-aset lama serta menambah jenis aset sedia ada supaya mencukupi.

 

 

mindef
Program penggantian aset-aset lama seperti kenderaan Radpanzer Condor perlu dilakukan segera.

 

 

Tanpa aset mencukupi ia boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan selain paras kemampuan untuk bertindak.

 

Antaranya ialah sistem artileri medan, meriam mudah gerak, mortar laras berat, sistem peluru berpandu pertahanan udara, penambahan kereta kebal dan kenderaan peninjau.

 

Ini contoh aset-aset darat manakala aset laut sudah semestinya kapal perang moden, kapal peronda, kapal sokongan logistik dan pesawat rondaan maritim.

 

Bagi aset udara adalah penambahan helikopter utiliti sebagai pengganti Nuri, pesawat latihan dan pesawat tempur pelbagai peranan.

 

Faktor keanggotaan juga perlu dilihat agar sesuatu pemodenan yang dibuat misalnya pembesaran pasukan mestilah bersandarkan pada jumlah anggota yang mencukupi.

 

 

mindef
Penglibatan syarikat tempatan dalam pameran pertahanan di luar negara perlu sebagai platform menembusi pasaran lebih luas.

 

 

Turut perlu diberi perhatian ialah pembangunan pasukan simpanan bagi tentera darat, laut dan udara kerana dalam konteks peperangan moden, elemen pasukan simpanan juga penting.

 

Menhan baharu juga harus peka pada isu-isu pertahanan dan keperluan ATM selain wajib mempunyai kesedaran yang tinggi berhubung hal ehwal ketenteraan. - DagangNews.com