Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Bajet 2022 menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya membina daya tahan negara dalam persediaan kita ke fasa endemik COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tambahan RM4 bilion disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi.
"RM2 bilion lagi disediakan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan," katanya pada sesi pembentangan Bajet 2022 di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga bercadang melaksanakan perolehan ubat anti-viral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk COVID-19.
Selain itu beliau berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada semua orang dewasa di samping meneruskan vaksinasi kepada anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun.
"Kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.
Beliau berkata, kerajaan turut bercadang untuk memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri. -DagangNews.Com








