Bagaimana bisnes kecil boleh memulakan tahun baharu dengan `langkah kanan’, walaupun dalam ekonomi sukar | DagangNews Skip to main content

Bagaimana bisnes kecil boleh memulakan tahun baharu dengan `langkah kanan’, walaupun dalam ekonomi sukar

Oleh Steven Chin, Pengarah Kanan/Pengurus Besar, Herbalife Malaysia dan Singapura

AZAM tahun baharu bukan sahaja boleh ditetapkan oleh individu tetapi juga sesuai untuk perniagaan.

 

Selepas menempuh tahun yang penuh dengan peluang dan cabaran, banyak syarikat tidak sabar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2023 dan menuju ke tahun yang lebih cerah.

 

Memulakan tahun baharu memberi kita masa untuk bermuhasabah, belajar dan berkembang maju untuk menjadikan tahun 2024 lebih berdaya maju bagi diri kita dan malah syarikat kita.

 

Perkara paling penting ialah kita mengambil iktibar daripada 2023 dan mengguna pakai apa yang kita pelajari dalam cabaran yang mungkin kita hadapi pada 2024.

 

Berikut adalah beberapa pengajaran yang ingin kami kongsi bersama para pengedar bebas kami di seluruh dunia untuk membantu mereka melangkah maju dan meluaskan perniagaan masing-masing.


 

Steven Chin
Steven Chin, Pengarah Kanan/Pengurus Besar, Herbalife Malaysia dan Singapura

 


Bergerak Tangkas dan Kekalkan Sikap Positif  

Walaupun pelbagai cabaran dihadapi dalam tempoh beberapa tahun lepas, masih ada sebab untuk kita bersikap optimistik.

 

Banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia telah mencari cara untuk mempelopori inovasi dan memastikan perniagaan mereka terus beroperasi dan berkembang maju, malah tiada sebab pertumbuhan tidak boleh diteruskan pada tahun baharu yang mendatang.

 

Bagi separuh pertama 2023, tinjau selidik Indeks Sentimen PKS oleh SME Bank mencatatkan bacaan positif. Sikap yakin tentang masa depan sesungguhnya satu cara yang baik untuk memulakan tahun baharu dan pancarkan keyakinan tersebut kepada pasukan dan pelanggan anda.

 

Semak Semula Apa Yang Berkesan Untuk Anda

Satu cara yang menarik untuk memulakan tahun baharu ialah mengimbas kembali apa yang berkesan pada tahun 2023.

 

Adakah anda telah menemui cara untuk mengurangkan kos atau menyelaraskan proses-proses anda?

 

Adakah anda telah menambah baik perkhidmatan pelanggan dengan menyediakan penyelesaian teknologi?

 

Mungkin anda telah menemui cara yang baharu dan inovatif untuk berhubung dengan lebih ramai pelanggan.

 

Sesetengah pemilik perniagaan melaporkan bahawa mereka berjaya menjalin hubungan yang lebih erat dengan pelanggan apabila mereka berkongsi maklumat yang lebih peribadi tentang cara mereka menghadapi cabaran semasa. Terus manfaatkan apa yang berkesan untuk mengembangkan perniagaan anda.

 

Jangan Lupa Untuk Merancang

Ramai usahawan memulakan perniagaan mereka untuk mengatasi rintangan yang wujud dalam syarikat-syarikat besar.

 

Di samping kebebasan untuk menjadi bos anda sendiri, mereka lazimnya bercita-cita untuk membebaskan diri mereka daripada sesi perancangan yang tidak pernah berakhir.

 

Bagaimanapun, setiap perniagaan, sama ada besar atau kecil boleh mendapat manfaat daripada rancangan perniagaan.

 

Luangkan masa pada tahun baharu untuk menulis matlamat bagi perniagaan anda pada 2024 dan juga menggariskan tindakan yang munasabah untuk mencapai matlamat tersebut.


 

parafrasa

 


Tulis apakah sumber yang anda perlukan untuk mencapai objektif dan menetapkan jadual untuk mencapai matlamat tersebut.

 

Apabila selesai, jangan hanya simpan dokumen tetapi kongsi dengan pasukan anda. Jangan lupa untuk semak semula setiap suku tahun untuk melihat di mana anda telah mencapai dan terlepas sasaran yang ditetapkan untuk matlamat ini.

 

Mencari Peluang Perniagaan Baharu

Seperti kata pepatah Inggeris, “Apabila satu pintu tertutup, satu lagi pintu akan terbuka.”

 

Walaupun keadaan nampak mencabar, jangan lupa bahawa kita sedang memperbaiki diri dalam segala aspek, dan kadangkala kemajuan, walaupun kecil, sudah memadai buat kita.

 

Pada tahun yang mendatang, para usahawan boleh terus mencari cara baharu untuk mengendalikan perniagaan masing-masing.

 

Tanya diri anda apakah yang diperlukan oleh pelanggan daripada anda dan bagaimana anda boleh menyediakan produk atau perkhidmatan tersebut dengan cara yang terbaik.

 

Sebagai penyedia produk pemakanan dan kesejahteraan, kami tahu bahawa pengguna di seluruh dunia kini semakin tercari-cari penyelesaian yang meningkatkan kesihatan.

 

Para pengedar bebas kami menganjurkan webinar dalam talian, sesi senaman luar dan berkongsi maklumat kesihatan berharga menerusi e-mel dan risalah berita.


 

parafrasa

 


Tulis Nota Untuk Kekalkan Hubungan Positif

Bilakah kali terakhir anda mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan pembekal yang menyokong perniagaan anda selama ini?

 

Permulaan tahun baharu ialah masa yang paling sesuai untuk bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka.

 

Minta mereka berkongsi dengan anda matlamat mereka pada tahun baharu dan tanya bagaimana anda boleh membantu mereka.

 

Cuba bayangkan perasaan anda jika anda menerima surat peribadi – lebih baik jika ditulis dengan tangan – daripada sesebuah syarikat.

 

Sebagai pemilik perniagaan kecil, anda boleh berhubung dengan mereka yang menjadi pelanggan perniagaan anda secara terus. Anda seharusnya meluangkan masa untuk berhubung secara positif untuk mengeratkan lagi hubungan.

 

Sememangnya permulaan tahun baharu adalah detik istimewa buat kita semua. Kita berpeluang bermula sekali lagi dengan langkah kanan.


 

parafrasa

 


Kita boleh belajar daripada kesilapan kita dan menyusuri pencapaian kita. Usahawan paling berjaya sentiasa mempelopori inovasi, mencari cara baharu untuk membina hubungan dengan pelanggan dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

 

Tahun ini ialah masa terbaik untuk mencorakkan masa depan kita dengan penuh yakin.- DagangNews.com