Axis REIT dijangka raih RM2.2 juta pendapatan sewa tahunan daripada pasar raya baharu di Temerloh - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis REIT dijangka raih RM2.2 juta pendapatan sewa tahunan daripada pasar raya baharu di Temerloh - Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka dapat menjana pendapatan sewa tahunan sebanyak RM2.2 juta untuk penggal pertama daripada pajakan hartanah pasar raya di Temerloh, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Baru-baru ini, Axis REIT telah mencadangkan pembelian hartanah pasar raya besar ketiga di Temerloh, Pahang berharga kira-kira RM26 juta daripada Amal Mewah Development Sdn Bhd.

 

Hartanah itu akan disewakan selama 20 tahun kepada TF Value-Mart Sdn Bhd, penyewa sedia ada Axis di Axis Hypermarket di Sungai Petani, Kedah, sejajar dengan rancangan pembesaran penyewa di seluruh Malaysia.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Axis REIT ambil alih pusat beli belah dua tingkat berharga RM25.75 juta di Temerloh

 

 

Maybank IB berkata ia positif terhadap cadangan pengambilalihan ini, berdasarkan anggaran hasil hartanah bersih sebanyak 7.5%. 

 

"Hartanah tersebut dijangka memberikan pendapatan sewa tahunan berjumlah RM2.2 juta bagi penggal pertama, tertakluk kepada peningkatan yang dipersetujui sepanjang tempoh pajakan. Axis menjangkakan perjanjian itu akan selesai pada suku pertama 2024," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dengan mengandaikan margin hartanah bersih 94%, firma itu berkata hasil hartanah bersih adalah sebanyak 7.5%, melebihi anggaran kos purata wajaran modal (WACC) pada 5% (hutang:ekuiti 30:70).

 

"Tiada perubahan pada ramalan pendapatan kami kerana perjanjian ini adalah sebahagian daripada andaian pengambilalihan aset kami sebanyak RM140 juta untuk FY24. 

 

"Kami menganggarkan penggearan kasar Axis meningkat kepada 0.36 kali daripada 0.35 kali pada akhir September 2023," tambahnya.

 

Di samping itu, Maybank IB berkata pendapatan Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) dijangka lebih kukuh dalam tahun kewangan 2024 (FY24) terutamanya disokong oleh sumbangan daripada empat aset baharu iaitu Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 (BRDC 2), Pusat Pengedaran Axis Mega 2 dan dua hartanah yang baharu diambil alih.

 

Firma tersebut berkata pendapatan REIT itu turut disokong oleh pengembalian sewa positif pada 3% hingga 5% dan kadar penghunian yang stabil merentasi kebanyakan aset. 

 

Tambahnya, Axis juga sedang berunding untuk satu lagi pengambilalihan bernilai RM170 juta dengan pelbagai vendor.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.16 seunit.

 

Setakat pukul 10:56 pagi ini, saham Axis REIT menokok 2 sen atau 1.1% kepada RM1.80 dengan permodalan pasaran bernilai RM3.1 bilion. - DagangNews.com