KUALA LUMPUR 21 Jun - Aurelius Technologies Berhad dijangka lemah pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) disebabkan permintaan semakin perlahan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu lebih berhati-hati terhadap prospek sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berikutan pelanggan utamanya giat menghabiskan simpanan dan pemulihan China lebih perlahan daripada jangkaan selepas pembukaan semula, menambah tekanan kepada permintaan yang semakin lemah.
Oleh itu, firma itu mengurangkan pendapatan tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024, 2025 dan 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 25%, 19% dan 12%.
“Kami menjangkakan pendapatan 1QFY24 yang lemah, sebahagiannya disebabkan oleh faktor bermusim, di mana volum suku pertama biasanya lebih rendah selepas kemuncak dalam suku keempat kerana pelanggan bergegas untuk memenuhi pesanan dan menyelesaikan tunggakan untuk tahun kewangan ini.
“Selain itu, hari bekerja lebih pendek pada Februari dan bulan Ramadan pada suku tersebut, serta pelanggan utamanya sedang menghabiskan simpanan secara agresif yang berkemungkinan berterusan ke suku kedua, justeru mengecilkan lagi buku pesanan,” katanya dalam nota hari ini.
Maybank IB menjangkakan pertumbuhan volum lebih rendah untuk semua pelanggan dalam FY24, dengan jangkaan separuh kedua tahun kewangan 2024 yang lebih kukuh, didorong oleh penamatan aktiviti menghabiskan simpanan dan peningkatan penggunaan untuk Pelanggan F.
Menurut firma itu, unjuran telah diselaraskan untuk mencerminkan harga jualan purata (ASP) lebih rendah untuk Pelanggan F, sejajar dengan trend industri dan keseluruhan permintaan yang semakin lemah dalam sektor tersebut memandangkan pembukaan semula China telah mengakibatkan kapasiti berlebihan, sementara permintaan masih belum meningkat.
“Walaupun menghadapi masalah jangka pendek ini, kami mengekalkan pandangan positif untuk prospek pertumbuhan kumpulan.
“Kami masih menjangkakan kadar pertumbuhan hasil tahunan (CAGR) pendapatan teras tiga tahun kira-kira 30%, disokong oleh usaha pengembangannya dan pemerolehan pelanggan baharu,” jelasnya.
Firma itu berkata prospek jangka panjang kekal positif berikutan trend pemindahan rantaian bekalan yang berterusan dan usaha kumpulan itu mempelbagaikan portfolio pelanggannya.
Susulan pengurangan unjuran pendapatan, Maybank IB menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.61 sesaham namun mengekalkan saranan ‘beli’ memandangkan penilaian kekal menarik.
Pada waktu rehat, saham Aurelius Technologies susut 6 sen atau 2.7% kepada RM2.13 dengan modal pasaran berjumlah RM839.2 juta. - DagangNews.com








