Astro tawar langganan kandungan hiburan Islamik Qalbox bagi pelanggan Ultra, Ulti Box | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Astro tawar langganan kandungan hiburan Islamik Qalbox bagi pelanggan Ultra, Ulti Box

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Qalbox berkolaborasi dengan Astro untuk menawarkan pelanggan Astro pelbagai pilihan kandungan Islamik yang tersedia sebagai tambahan pada semua Astro Ultra dan Ulti Box.

 

Sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik ini, pelanggan Astro yang memiliki Ultra dan Ulti Box akan menikmati langganan percuma eksklusif Qalbox serta akses premium Muslim Pro selama dua bulan, bermula 27 Julai hingga 26 September 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif bersama Muslim Pro Fara Abdullah berkata kerjasama tersebut sejajar dengan matlamat Muslim Pro untuk menjadi rumah digital bagi segala perkara yang berkaitan dengan Muslim.

 

"Melalui kerjasama ini, visi kami untuk memantapkan kedudukan kami sebagai pusat kandungan dan hiburan Muslim global dan menyediakan landasan bagi pencipta kandungan kreatif Muslim dan pembuat filem menjadi lebih kukuh.

 

“Dengan tawaran kandungan yang pelbagai, kami yakin bahawa Qalbox akan menarik perhatian penonton Malaysia serta memberikan pengalaman hiburan yang tiada tandingan,” ujar beliau.

 

Qalbox berkata ia terus berusaha untuk memaparkan identiti Muslim dan bagaimana kepercayaan dapat diintegrasikan dalam gaya hidup seharian umat Islam melalui pelbagai genre yang komprehensif, termasuk filem ikonik, siri, dokumentari, animasi kanak-kanak, realiti TV dan banyak lagi.

 

 

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din dan Fara Abdullah bersama Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shafiq Abdul Jabbar
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din dan Fara Abdullah bersama Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shafiq Abdul Jabbar

 

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Shafiq Abdul Jabbar berkata, penonton kini dapat menikmati kandungan Islamik dengan penambahan lebih daripada 1,000 jam kandungan SVOD Qalbox yang kini tersedia untuk penstriman di Ultra dan Ulti Box kami.

 

“Kini kami mempunyai kandungan yang menarik dari 12 aplikasi penstriman video, termasuk aplikasi Astro GO kami yang ditawarkan secara percuma kepada semua pelanggan.

 

“Kami berbesar hati atas usaha ini dengan Muslim Pro dan percaya bahawa ini akan lebih melengkapkan tawaran kandungan Astro,” katanya.

 

Selepas tempoh dua bulan akses percuma yang berakhir pada 26 September 2023, pelanggan Astro masih boleh mengakses Qalbox dan Muslim Pro dengan menambahnya ke langganan mereka dengan tawaran eksklusif.

 

Kerjasama ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din dan Fara Abdullah, berserta Shafiq Abdul Jabbar dan Pengarah Kandungan, Agnes Rozario pada hari ini.

 

Pelanggan boleh melayari www.astro.com.my/QalboxMuslimPro untuk mengemas kini langganan.   - DagangNews.com