KUALA LUMPUR 30 Mac - Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
PNB dalam satu kenyataan berkata, berkata pengagihan pendapatan itu adalah untuk dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
Menurut PNB, ASB 2 mengumumkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM620 juta iaitu bersamaan 5 sen seunit kepada 513,244 pemegang unit yang kini memiliki 12.42 bilion unit.
Selain itu, tambah PNB, ASM turut mengumumkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM1.02 bilion, bersamaan 4.50 sen seunit kepada 575,351 pemegang unit dengan 22.74 bilion unit.
“Sehingga 28 Mac, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM536.09 juta manakala ASM pula mencatatkan RM784.83 juta.
“Pengagihan ASB 2 dan ASM diterjemahkan kepada jumlah pulangan masing-masing 5% dan 4.50%, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.52% sebanyak 248 mata asas untuk ASB 2 dan 198 mata asas untuk ASM,” kata PNB.
Menurut PNB, seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2023 pada Februari, peningkatan dalam had pelaburan individu untuk ASB & ASB 2 daripada RM200,000 kepada RM300,000 setiap satu akan berkuat kuasa pada April 2023 tertakluk kepada kelulusan kawal selia.
Tambahnya, peningkatan had pelaburan adalah satu langkah positif dan sejajar dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia. - DagangNews.com








