KUALA LUMPUR 25 April - Asia Digital Engineering (ADE) hari ini mengumumkan barisan ahli lembaga pengarah baharu bagi menyelia strategi masa depan syarikat kejuruteraan Capital A untuk menjadi peneraju syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) terkemuka di Asia Tenggara.
Pengumuman barisan ahli lembaga pengarah baharu tersebut termasuk pengumuman Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Hisham Othman, adalah antara inisiatif dan komitmen ADE untuk menawarkan penyelesaian kejuruteraan industri untuk AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga lain di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Asia Digital Engineering, Mahesh Kumar berkata, pihaknya berbesar hati atas sokongan kumpulan ahli lembaga pengarah yang dihormati dalam usaha untuk berkembang lebih pesat dan dalam masa sama meletakkan Malaysia di persada dunia sebagai sebuah penyedia global terkemuka untuk perkhidmatan kejuruteraan terbaik serta berkualiti.
“Selain Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), dan saya sendiri yang memegang jawatan eksekutif dalam Capital A (syarikat induk ADE dan AAAGL), barisan ahli lembaga pengarah baharu ini terdiri daripada pengerusi bebas bukan eksekutif dan tiga pengarah bebas bukan eksekutif, masing-masing membawa pengalaman luas dan relevan serta pengawasan strategik dalam membawa aspirasi pertumbuhan ADE ke peringkat yang lebih tinggi.
“Baru-baru ini, kami telah menawarkan lebih 100 jawatan kejuruteraan di Malaysia bagi menyokong pertumbuhan pesat dan kami berharap untuk mewujudkan ratusan lagi peluang pekerjaan sejajar dengan peningkatan permintaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, berikutan dunia mula beralih ke fasa endemik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahesh berkata, keupayaan digital adalah apa yang membezakan mereka daripada para pesaing.
"Kami juga telah mengumumkan rancangan untuk menjana lebih RM400 juta bagi membina kemudahan MRO berteknologi tinggi seluas 20 ekar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) yang dijangka akan mula dibina pada tahun ini dan bakal siap dalam tempoh dua tahun.

Datuk Hisham Othman

"Kami turut menyasarkan untuk membangunkan kemudahan yang sama di pasaran utama kami yang lain seperti di Thailand, Filipina dan Indonesia seterusnya akan menjadikan ADE sebagai peneraju industri di Asean dan global," katanya.
Bo Lingam pula berkata, kini kebanyakan sempadan antarabangsa telah dibuka kepada dunia dan syarikat penerbangan dapat kembali beroperasi.


"Justeru, kami amat berbesar hati untuk mengumumkan pengerusi dan barisan ahli lembaga pengarah baharu untuk ADE di samping memperkukuh asas pertumbuhan masa depan syarikat. Dalam usaha AirAsia untuk sentiasa memperjuangkan kesaksamaan, dua pengarah bebas bukan eksekutif ADE adalah tokoh wanita terkemuka, yang mana kedua-duanya berkelayakan dalam bidang yang dahulunya didominasi oleh lelaki.
“Rantau Asean, termasuk Singapura, dari segi sejarah sentiasa menjadi peneraju dunia dalam perkhidmatan MRO dan kami percaya bahawa ADE mampu membawa keupayaan tersebut ke peringkat seterusnya, dengan inovasi teknologi maju, dipacu oleh pengalaman selama lebih 20 tahun dan data yang luas untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada syarikat penerbangan komersial di rantau ini.
“MRO adalah sebuah industri yang menguntungkan dan sentiasa berkembang pesat di Asia Tenggara. Oleh itu, kami percaya ADE akan memberi sumbangan ketara kepada Capital A untuk maju ke hadapan," katanya. - DagangNews.com








