Aset rizab rasmi BNM, AS$109.62 bilion setakat Mac 2021 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aset rizab rasmi BNM, AS$109.62 bilion setakat Mac 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 April - Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa aset rizab rasmi berjumlah AS$108,618.2 juta, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$409 juta pada akhir bulan Mac 2021.

 

Jelas bank pusat itu, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$5,584.4 juta.

 

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM. 

 

“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$8,931.4 juta manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$385 juta pada akhir bulan Mac 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang. 

 

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak bulan April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek,” ujar BNM dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, unjuran aliran masuk mata wang asing pula berjumlah AS$2,376.8 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Kata BNM lagi,, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$389.1 juta. 

 

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain, tambahnya. 

 

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

 

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Mac 2021 tetap boleh guna,” ujar BNM lanjut. - DagangNews.com