ASEAN Mall Pattani: Waqaf mall pertama di dunia sediakan platform perdagangan peringkat ASEAN | DagangNews Skip to main content

ASEAN Mall Pattani: Waqaf mall pertama di dunia sediakan platform perdagangan peringkat ASEAN

Oleh Shamshilawati Abd. Rahman

PATTANI 3 Jun – Uniti Asia Group telah mengambil inisiatif memulakan langkah untuk meneroka pasaran dagang di Selatan Thailand dengan mendirikan pusat membeli belah di wilayah Pattani, Thailand yang dinamakan ASEAN Mall.

 

ASEAN Mall kini merupakan satu-satunya pusat membeli belah berkonsep Waqaf yang seumpamanya di dunia. Penubuhan pusat membeli belah ASEAN Mall di Pattani ini juga telah berjaya membuka mata para pelabur dari Malaysia, Thailand dan Indonesia untuk turut serta melabur.

 

Pattani merupakan sebuah negeri yang mempunyai penduduk beragama Islam teramai di Selatan Thailand. Populasi penduduk di Selatan Thailand sahaja mencecah 9.4 juta orang, manakala populasi keseluruhan penduduk di Thailand pula adalah sebanyak 71.6 juta orang.

 

Populasi di keseluruhan negara-negara Indochina pula adalah sebanyak 257 juta orang. Ia merupakan pasaran besar untuk diterokai oleh usahawan-usahawan di ASEAN.

 

Gabenor Pattani di Thailand, Pateemoh Sadeeyamu berkata, Pattani mempunyai potensi ekonomi yang besar kerana banyak projek pembangunan yang telah dijalankan di Pattani khususnya di sekitar ASEAN Mall ini.

 

 

Pateemoh Sadeeyamu
Pateemoh Sadeeyamu

 


Beliau gembira matlamat menjadikan Pattani sebagai Hab Halal akan tercapai iaitu menjadi Pusat Perniagaan yang menghubungkan negara-negara ASEAN khususnya wilayah Indochina.

 

Menurutnya, selain potensi, faktor logistik merupakan satu lagi kelebihan urus niaga di Pattani. Ini kerana Pattani dan Selatan Thailand akan menjadi pusat dan laluan perniagaan yang menghubungkan Thailand, Malaysia dan Indochina.

 

Hal ini akan memudahkan usahawan-usahawan dari sudut pengaturan logistik, di mana ia menjadi lebih mudah dan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan laluan alternatif yang lain.

 

Faktor Bahasa juga merupakan satu lagi kelebihan masyarakat di Selatan Thailand kerana mereka mempunyai kemahiran bertutur sekurang-kurangnya dua Bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Thailand. Ini akan memudahkan urusan jual beli dari kalangan penduduk tempatan terutamanya urusan import eksport.

 

Pateemoh juga telah menyatakan kesediaan beliau untuk memberikan kerjasama yang baik untuk memudahkan hubungan dagang ke Pattani, ketika beliau berucap di acara perasmian MAROI Festival 2023 di ASEAN Mall, Pattani, Thailand pada 1 Jun 2023 baru-baru ini.

 

Terdahulu, beliau telah merasmikan MAROI Festival 2023 dan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) di antara Persatuan Perniagaan Makanan Pattani dengan One Stop Center Co.Limited Uniti Asia Link Sdn. Bhd, syarikat import domestik di bawah UNITI Asia Group dan Asean Mall.

 

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Riduan Abu Yazid dalam ucapannya berkata, ini merupakan titik sejarah dan permulaan kejayaan sebuah projek ummah yang dibangunkan oleh umat Islam di atas konsep Waqaf Istithmari atau Waqaf pelaburan yang diyakini banyak memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk pelabur, usahawan, pembeli, penjual, pekerja, pihak kerajaan dan swasta.

 

 

Muhammad Riduan Abu Yazid
Dato' Jamal Mohd Amin

 

 

Beliau turut berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh syarikat Uniti Asia Group untuk bekerjasama dengan syarikat dari Pattani dalam membangunkan Mall waqaf yang pertama di dunia iaitu di Pattani.

 

Presiden Uniti Asia Group yang juga merupakan Pengarah ASEAN Mall, Dato’ Jamal Mohd Amin pula berkata, beliau percaya kerjasama yang baik dari pelbagai pihak mampu merealisasikan ASEAN MALL sebagai Halal Hub terkemuka bagi pasaran Asia suatu ketika nanti.

 

"Ketepikan fahaman yang memecah-belahkan dan sama-sama memperkasakan usaha membangunkan ummah melalui perniagaan yang memberikan manfaat kepada orang ramai khususnya," kata beliau.

 

Menerangkan tentang konsep Waqaf beliau berkata, ASEAN MALL membuka peluang kepada sesiapa saja menjadi pelabur Waqaf dengan hanya RM5,500 seorang.

 

"Selain daripada mendapat pahala Waqaf, pelabur Waqaf juga mendapat keuntungan dalam bentuk hibah. Projek Waqaf ini mempunyai peranan yang penting dalam kestabilan, keamanan, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di Wilayah ASEAN/Asia Tenggara," ujarnya.

 

Beliau mengalu-alukan orang ramai dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi pelabur Waqaf di ASEAN MALL.

 

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Suargana Pringganu, Konsulat Jeneral Indonesia di Songkhla, En. Mohd Zamri Said; Pengarah One Stop Center Co. Ltd merangkap Pengarah MAROI Festival 2023 dan Cik Kam Khae, Presiden Persatuan Perniagaan Makanan Pattani.

 

Orang ramai, usahawan-usahawan, agensi-agensi kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia di Pattani, penduduk di Pattani dan Selatan Thailand adalah dijemput untuk memeriahkan Festival MAROI 2023 yang bermula 31 Mei dan berakhir pada 4 Jun 2023, Ahad ini.

 

Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah pameran gerai jualan usahawan, inisiatif ‘business matching’ dan kolaborasi antara usahawan-usahawan Thailand, Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com