KUALA LUMPUR 13 Julai - Asas sektor telekomunikasi dijangka semakin baik selepas kerajaan memutuskan untuk meninggalkan rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelancaran 5G dan menggantikannya dengan rangkaian dwi borong (DWN) yang akan menghasilkan caj yang lebih murah.
Kenanga Research berkata, ia akan menghasilkan kelajuan yang lebih pantas dan liputan yang lebih luas tetapi pada kos yang lebih murah, permintaan untuk Internet jalur lebar dan komunikasi mudah alih akan terus meningkat tanpa mengira kitaran ekonomi.
Firma itu berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk membina infrastruktur digital yang teguh yang penting kepada transformasi digital Malaysia dan dorongan untuk Revolusi Industri 4.0.
"Di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela), transformasi digital termasuk merapatkan jurang digital untuk komuniti luar bandar, bandar dan B40.
"Pada masa yang sama, kemudahan penting dibina, latihan kemahiran dipertingkatkan dengan harapan semua orang akan berpeluang untuk berkembang maju dalam ekonomi digital.
"Kemajuan teknologi dalam telekomunikasi boleh mengurangkan kos menjalankan perniagaan, serta membolehkan keluarga dan individu menikmati hiburan yang lebih murah dalam keselesaan rumah mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Berdasarkan unjuran kerajaan, firma itu berkata, ekonomi digital dengan penggunaan e-dagang dalam kalangan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PKS) boleh menghasilkan peningkatan produktiviti sebanyak 30%.
Katanyam, menjelang 2025, ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang 23% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan.
“Permintaan untuk ketersambungan akan disokong oleh populasi yang semakin meningkat, liputan yang lebih luas dan lebih baik, serta harga yang berpatutan,” katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dan pilihan utama mereka ialah CelcomDigi Berhad (outperform: harga sasaran: RM5.15) dan Maxis Berhad (outperform: TP: RM5.30).- DagangNews.com








