KUALA LUMPUR 3 Julai - Artroniq Berhad telah menyelesaikan penempatan persendirian sebanyak 65.7 juta saham baharu, merealisasikan modal sebanyak RM36.8 juta, yang dijadualkan pemindahannya pada 5 Julai, dengan perdagangan bermula pada 6 Julai.
Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu turut mengumumkan terbitan bonus dengan menawarkan dua waran percuma untuk setiap dua saham yang dipegang sehingga 13 Julai 2023.
Dengan penubuhan panel kepemimpinan baharu tahun lalu, Artroniq telah secara aktif memimpin usaha penstrukturan semula korporat yang meluas, termasuk pemerolehan kontrak yang agresif, penggabungan dan pengambilalihan strategik, serta penerokaan ke dalam industri kenderaan elektrik (EV).
Menurut kumpulan itu, pelaksanaan penempatan persendiria berserta terbitan bonus telah meningkatkan kedudukan mudah tunai Artroniq secara ketara, di mana senario menguntungkan ini membentuk suasana penuh jangkaan dalam kalangan pemegang saham, yang menanti-nantikan transformasi syarikat menjadi sebuah perusahaan yang menunjukkan asas teguh dan kualiti premium pada separuh kedua tahun ini.
Pelantikan beberapa eksekutif kanan daripada Artroniq baru-baru ini ke jawatan pengurusan dalam dua syarikat tersenarai awam lain telah mencetuskan rasa ingin tahu pasaran yang besar.
Ketua Pegawai Kewangan Artroniq, Marcus Chin Choon Wei berpendapat bahawa langkah-langkah kewangan strategik kumpulan itu menegaskan komitmennya terhadap pertumbuhan dan transformasi.

“Kewangan teguh bukan sahaja mengukuhkan posisi kami sekarang tetapi juga bertindak sebagai platform pelancaran untuk inisiatif korporat masa depan.
“Kami berharap untuk memanfaatkan asas ini untuk memacu pengembangan kami di dalam sektor EV yang sedang berkembang,” ujar beliau.
Tambahnya, anak syarikat Artroniq, AITech, baru-baru ini komited untuk memasang 7,000 'Reevo Bikes', barisan E-Bike premium untuk Beno, yang disokong oleh simpanan tunai kumpulan yang kukuh dan potensi hasil penempatan persendirian, menandakan langkah signifikan dalam pengembangan Artroniq ke sektor E-Bike.
Saham Artroniq ditutup pada 81.5 sen, menokok 2.5 sen atau 3.2%, menilai modal pasarannya pada RM267.6 juta. - DagangNews.com








