KUALA LUMPUR 17 Nov - RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bumi Armada Berhad terutama selepas unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Armada Kraken kembali beroperasi semula.
Katanya, ia menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu menyukai Bumi Armada kerana kumpulan itu memiliki kunci kira-kira yang kukuh diterajui oleh operasi FPSO yang stabil.
Bagaimanapun, RHB Investment menyatakan bahawa siasatan mengenai punca sebenar kerosakan Armada Kraken masih diteruskan dan pengubah baharu masih belum dipasang.
"Kami percaya bahawa konsortium akan memperoleh data seismik 3D baharu mengenai penemuan Tulip untuk menilai potensi pembangunan pantas di bawah kontrak perkongsian pengeluaran Akia (Akia PSC).
"Perkembangan sebegini boleh membawa peluang untuk Bumi Armada untuk menyediakan dan mengendalikan FPSO dan FLNG (gas asli cecair terapung) atau saluran paip gas," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Untung bersih Bumi Armada meningkat 18.7% kepada RM177.8 juta bagi 3QFY23
Terdahulu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan yang berjumlah RM524.8 juta, merosot 19.6% daripada RM653 juta tahun lalu manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan naik kepada 3 sen daripada 2.53 sen sebelumnya.
Secara kumulatif, untung bersih Bumi Armada dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) susut 4.6% kepada RM497.5 juta daripada RM521.7 juta berikutan penurunan FPSO Armada Kraken dan kerugian tukaran mata wang asing.
Firma penyelidikan itu juga positif terhadap prospek jangka panjang pembangunan kemudahan dan pembawa LNG terapung, serta kejuruteraan Bumi Armada bagi sistem suntikan tangkapan karbon bagi projek medan gas di Indonesia.
"Bagaimanapun, kesan pendapatan masih tidak jelas, kerana kapasiti dan perbelanjaan modal masih tidak diketahui dan bergantung kepada pendekatan pembangunan lapangan dan kerumitan," katanya.
RHB Investment mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak 73 sen sesaham.- DagangNews.com








