Arbaah labur RM20 juta bangunkan ladang udang kara air tawar di Desaru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Arbaah labur RM20 juta bangunkan ladang udang kara air tawar di Desaru

Oleh EMIR MUKMIN

PENDANG 9 Sept - Syarikat penternakan udang kara air tawar milik anak tempatan, Arbaah Sdn. Bhd. melebarkan lagi sayap perniagaan mereka dengan pembangunan ladang ternakan baharu di Desaru, Johor dengan nilai pelaburan antara RM15 juta hingga RM20 juta.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Arbaah, Muhammad Firdaus Osman berkata, langkah tersebut diambil bagi memenuhi permintaan udang berkenaan dari Singapura yang mencecah hingga 20 tan sebulan.

 

Katanya, ketika ini ladang syarikat berkenaan berkeluasan kira-kira empat hektar di Kampung Durian, Paya Rawa dekat sini tidak mampu untuk memenuhi permintaan tersebut.

 

"Ladang kami di Kampung Durian ini merupakan pusat pembenihan udang kara air tawar terbesar di Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan namun setakat ini, kami masih belum mampu untuk memenuhi permintaan dari negara jiran tersebut.

 

"Buat masa ini, kami masih bergerak mengikut perancangan dengan penghasilan 84,000 anak benih sebulan serta pengeluaran 300 kilogram (kg) udang kara air tawar seminggu.

 

arbaah
Muhammad Firdaus Osman

 

"Apabila tiba masanya untuk ladang ini beroperasi secara penuh tidak lama lagi, kami menjangkakan pengeluaran udang kara air tawar dapat ditingkatkan kepada empat tan sebulan. Jumlah itu bagaimanapun jauh lebih rendah daripada permintaan dari Singapura yang mencecah 20 tan sebulan," katanya ketika menerima kunjungan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di ladangnya hari ini.

 

Beliau berkata, ladang baharu di Desaru itu kini berada di peringkat pembinaan dan dijangka mula beroperasi setahun lagi.

 

"Ladang itu akan dibina di tanah berkeluasan kira-kira 10 hektar dengan kapasiti pengeluaran 20 tan sebulan. Kewujudan ladang itu sememangnya khas untuk memenuhi permintaan dari Singapura," katanya.

 

Dalam pada itu katanya, permintaan terhadap udang kara air tawar tersebut sememangnya tidak mencukupi walaupun di dalam negara.

 

Selain Singapura, pihaknya turut mendapat tawaran menghantar bekalan ke Australia dan Hong Kong.

 

"Dalam bidang ini, permintaannya sentiasa ada tetapi di negara ini, kami masih belum dapat memenuhinya.

 

"Jadi kami terbuka untuk mengadakan program komuniti satu kampung satu produk seperti disarankan kerajaan dan bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak berminat," katanya.

 

Pada masa sama katanya, syarikatnya banyak menggunakan teknologi terkini termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam kerja-kerja di ladang.

 

"Kami mahu menjadikan industri ini kelihatan lebih menarik buat orang muda. Kalau dulu kerjaya sebagai penternak mungkin hanya akan bersembang di bawah pokok tetapi kini, orang muda dapat mengaplikasikan teknologi canggih yang tentunya lebih menyeronokkan, bergaya dan mendatangkan hasil lebih baik.

 

"Ladang kami di Kampung Durian ini juga akan memasuki fasa ketiga tidak lama lagi untuk tampil dengan konsep 'agrotourism'. Di sini para pengunjung berpeluang mengenali konsep teknologi yang kami perkenalkan tadi dan dalam masa sama, boleh hadir untuk menikmati hidangan udang kara air tawar secara segar dari ladang," katanya. - DagangNews.com