KUALA LUMPUR 13 Jun - Apollo Food Holdings Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.99 juta pada suku tahun kewangan berakhir 30 April 2024, susut 12% berbanding setahun lalu.
Suku keempat bagi tahun kewangan 2024 (4QFY24) itu juga menyaksikan pendapatan 5% kepada RM57.23 juta berbanding RM60.26 juta pada 4QFY23.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Apollo Food berkata, penyusutan pendapatan disebabkan kemerosotan jualan bagi pasaran eksport.
"Untuk suku kewangan berakhir pada 30 April 2024, keuntungan sebelum cukai Kumpulan berjumlah RM8.2 juta, yang menunjukkan penurunan sebanyak 9% berbanding RM9.1 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
"Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi pada suku semasa," kata Kumpulan itu hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Apollo Food berkata, untuk tahun kewangan berakhir pada 30 April 2024 (FY2024), Kumpulan mencapai pendapatan sebanyak RM255.4 juta, susut 0.7% berbanding tahun sebelumnya.
"Keuntungan bersih pula sebanyak RM53.8 juta (+70.1% berbanding tahun sebelumnya), termasuk keuntungan daripada pelupusan harta pelaburan berjumlah RM18.7 juta.
"Tanpa keuntungan sekali ini, Kumpulan masih merekodkan pertumbuhan keuntungan sebanyak +11.0% berbanding tahun sebelumnya susulan peningkatan margin keuntungan kasar yang memuaskan," ujarnya.
Pengarah Urusan Apollo, Cheah Jia Ming menyifatkan hasil yang memuaskan untuk FY2024 walaupun jualan untuk suku keempat dipengaruhi oleh dua cuti perayaan besar yang bertepatan dengan suku kewangan terakhir Kumpulan tahun ini.
"Sejak mengambil alih kepemimpinan pada awal tahun ini, pengurusan baru telah memberi tumpuan kepada peningkatan operasi utama.
"Kami sedang mengkaji inisiatif untuk meningkatkan kecekapan dan memanfaatkan jenama kami yang kukuh untuk membangunkan pasaran eksport baru dan segmen pelanggan.," katanya.- DagangNews.com