Apex Securities mulakan liputan ke atas Samaiden dengan saranan 'beli', TP RM1.66 sesaham | DagangNews Skip to main content

Apex Securities mulakan liputan ke atas Samaiden dengan saranan 'beli', TP RM1.66 sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Jun - Apex Securities Bhd telah memulakan liputan ke atas Samaiden Group Bhd dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.66 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Samaiden sedia untuk mendapat manfaat daripada dasar tenaga boleh diperbaharui (RE) jangka panjang untuk mencapai sasaran pelaksanaan sebanyak 70% di Malaysia.

 

Katanya, pendapatan teras Samaiden dijangka bertambah baik, didorong oleh buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM354.3 juta antaranya susulan kejayaan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) baru-baru ini di Taman Teknologi Tinggi Kulim bernilai RM100 juta dan tender berterusan daripada Program Kuasa Hijau Korporat bernilai kira-kira RM350 juta.

 

"Projek lain adalah kuota 2.0 gigawatt (GW) daripada pusingan kelima program Solar Skala Besar (LSS) dengan anggaran hasil sebanyak RM5.8 bilion dan usaha berterusan untuk menambah pesanan daripada pelbagai penyelesaian tenaga bersih," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Industri RE bakal menerima pembiayaan berbilion Ringgit - Kenanga Research

 

Dalam pada itu, Apex Securities memihak kepada Samaiden kerana rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan 200 projek RE tepat pada masanya dan  pengkhususan dalam sistem fotovoltaik suria yang dipasang di tanah, menguasai purata 15.4% bahagian pasaran pekerjaan EPCC daripada projek LSS.

 

Katanya, Samaiden juga mempunyai kepakaran dalam penyelesaian biotenaga, terutamanya dalam biojisim; pengisian semula buku pesanan yang mantap, secara konsisten sekitar RM350 juta; asas yang kukuh, dengan kedudukan tunai bersih RM96.9 juta dan nisbah penggearan rendah sebanyak 0.04 kali pada sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Mac 2024 (9MFY2024).

 

Samaiden juga memperoleh faedah daripada normalisasi harga modul solar dan potensi pertumbuhan industri RE jangka panjang daripada pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Sementara itu, katanya, sejak disenaraikan di Bursa Malaysia, Samaiden telah komited untuk mengembangkan kehadirannya di seluruh rantau ASEAN.

 

Bagaimanapun kata Apex Securities, pasaran Malaysia masih kekal memberi pendapatan utama dengan potensi dari usaha serantau belum dimasukkan ke dalam penilaian.

 

"Kami mengharapkan inisiatif-inisiatif di ASEAN akan mengambil masa 1 hingga 2 tahun lagi," ujarnya.

 

Firma penyelidikan itu dalam pada itu, berkata, risiko utama termasuk turun naik dalam kos modul solar dan terlalu pergantungan terhadap inisiatif kerajaan.- DagangNews.com