KUALA LUMPUR 6 Julai - Aneka Jaringan Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Aneka Jaringan Sdn. Bhd. menerima kontrak bernilai RM22.16 juta untuk menjalankan pembinaan projek Rumah Wilayah Keluarga Malaysia (RUMAWIP) di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Projek itu melibatkan kerja-kerja tanah, cerucuk, kerja penutup cerucuk, dan dinding penahan untuk dua blok pangsapuri kediaman tersebut dengan 1,010 unit rumah.
Projek itu merangkumi pelbagai kemudahan seperti lobi utama, pejabat pengurusan, tadika, kedai, kemudahan dobi, tempat letak kereta, bilik M&E, dewan serbaguna, podium kemudahan dengan kolam renang.
"Projek itu dijadualkan bermula pada 15 Julai 2023, dengan tarikh siap ditetapkan pada 14 Mei 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata, projek itu menggariskan dedikasi kami untuk meningkatkan yang mampan melalui rumusan perumahan mampu milik.
Katanya, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab secara sosial, pihaknya memahami kepentingan kualiti dan kemampuan dalam perumahan.
"Kami bersyukur atas peluang ini untuk mengusahakan projek transformatif sebegini.
"Pasukan kami bersedia untuk membawa pengalaman luas dan kepakaran teknikalnya untuk digalas, dan kami berharap dapat menyampaikan projek yang bukan sahaja akan memenuhi tetapi melebihi jangkaan semua pihak berkepentingan," katanya.
Walaupun kontrak itu tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham Aneka Jaringan, ia diunjurkan menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) dan 31 Ogos 2024 (FY24).
Sehingga hari ini, Aneka Jaringan telah memperoleh sejumlah RM304.9 juta dalam projek baharu dengan operasi Malaysia menyumbang RM288.6 juta, dengan operasi Indonesia menyumbang RM16.3 juta. - DagangNews.com








