KUALA LUMPUR 3 Okt - Reservoir Link Energy Bhd telah mengumumkan bahawa anak syarikat 51% miliknya, Founder Group Ltd (FGL) sedang mempertimbangkan penyenaraian di bursa saham Amerika Syarikat (AS), Nasdaq.
Pembekal perkhidmatan tenaga itu berkata cadangan penyenaraian FGL akan menawarkan fleksibiliti kewangan yang dipertingkatkan menerusi platform pengumpulan dana baharu bagi mempercepatkan trajektori pengembangan dan pertumbuhan perniagaan boleh diperbaharui solarnya.
“Dengan memanfaatkan bursa saham Nasdaq, FGL juga akan dapat mempertingkatkan imej korporat dan keterlihatannya untuk menembusi pasaran lebih luas, sekali gus meluaskan pangkalan pelanggan dan pelabur sedia ada.
"Selain itu, pelaksanaan tersebut juga akan menjadi platform mengkaji semula perniagaan secara strategik dan meneroka peluang baharu untuk mengembangkan segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) solar," katanya.
FGL merupakan penyedia kejuruteraan, perolehan dan pembinaan khususnya dalam sistem solar, serta kerja-kerja kejuruteraan lain yang melibatkan kejuruteraan awam, struktur, mekanikal dan elektrik di seluruh negara.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata cadangan penyenaraian di Nasdaq sejajar dengan strategi pertumbuhan FGL.
“Ia memberikan kami peluang unik untuk terus melaksanakan pertumbuhan segmen tenaga boleh diperbaharui solar dengan meningkatkan keterlihatan pasaran yang membolehkan kami berpotensi menembusi pasaran baharu, meneroka nilai besar yang sebelum ini tidak dapat dicapai untuk pemegang kepentingan kami.
“Dengan mengambil kira jangkaan permintaan global untuk solar, kami menjangkakan pertumbuhan luar biasa pada masa hadapan. Permintaan bersandarkan faktor sokongan seperti penggunaan inisiatif sifar bersih yang semakin meningkat telah menyaksikan sokongan menggalakkan daripada dasar dan insentif kerajaan.
"Oleh itu, kami percaya kami berada di kedudukan baik untuk menguasai bahagian pasaran tambahan apabila berjaya melengkapkan penyenaraian yang dicadangkan," katanya.
Pada pukul 2:34 petang hari ini, saham Reservoir Link tidak berubah pada 33 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM104.6 juta. - DagangNews.com








