KUALA LUMPUR 6 Jun - Country View Resources Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Countryview Berhad menjual tiga bidang tanah komersial berstatus pegangan bebas di mukim Pulai, daerah Johor Bahru kepada Paragon View Sdn Bhd pada harga RM47.26 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Country View berkata, perjanjian jual beli itu telah dimeterai subsidiarinya itu dengan Paragon View pada 6 Jun 2024.
Katanya, keluasan keseluruhan tiga tanah tersebut ialah 3.65 hektar dengan setiap satunya berkeluasan hampir sama iaitu kiara-kira 1.2 hektar.
"Harga tanah yang dipersetujui antara kedua-dua pihak adalah berdasarkan ‘pembeli sanggup, penjual rela’.
"Lembaga Pengarah percaya pertimbangan harga jualan adalah sejajar dengan penilaian harga pasaran yang dilakukan jurunilai," katanya dalam pemakluman berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Country View melonjak 64% kepada RM1.6 juta pada 3QFY23 didorong jualan rumah di Iskandar Puteri
Menurut Country View, ketiga-tiga tanah berkenaan diperoleh pada tahun 2005 dengan harga kira-kira RM8 juta.
Kata syarikat pemaju hartanah itu, tanah berkenaan terletak kira-kira 4.6 kilometer dari bandar Gelang Patah atau 20 km dari Johor Bahru.
"Hasil yang diperoleh daripada penjualan tanah-tanah ini akan digunakan antaranya bagi tujuan modal kerja, pembiayaan projek ketika ini dan masa depan serta bagi membayar pinjaman," jelasnya. - DagangNews.com








