AmInvestment semak naik unjuran 2Q24 KDNK kepada 6.0%, prestasi terbaik sejak akhir 2017 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment semak naik unjuran 2Q24 KDNK kepada 6.0%, prestasi terbaik sejak akhir 2017

Gambar hiasan MMC Port
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Ogos - AmInvestment Bank Research menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk suku tahun kedua 2024 (2Q2024) meningkat 6.0% tahun ke tahun, sedikit lebih tinggi daripada anggaran awal sebelum ini 5.3%.


 
"Setelah mengambil kira data statistik terkini seperti Indeks Perkhidmatan, perdagangan luar, dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), model kami mencadangkan bahawa pertumbuhan pada 2Q2024 mungkin mencapai sehingga 6.0% tahun ke tahun.

 

"Jika ini benar, ia akan menandakan prestasi terbaik Malaysia sejak suku tahun keempat 2017, dan Malaysia akan menjadi ekonomi ketiga yang paling pesat berkembang di ASEAN pada 2Q2024 selepas Vietnam dan Filipina," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment percaya pertumbuhan yang kuat ini disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, yang merupakan pemacu utama ekonomi. 

 

Katanya, ini disebabkan oleh keadaan pasaran buruh dan inflasi yang stabil, musim perayaan dan pengeluaran daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Akaun 3.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KDNK Malaysia dijangka berkembang 5.8% pada suku kedua 2024 - DOSM

 

"Selain daripada kesan asas yang rendah daripada tahun lepas, kitaran menaik Jualan Semikonduktor Global (GSS), yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 16.4% dalam lima bulan pertama selepas penguncupan sebanyak 10.5% dalam tempoh yang sama tahun lepas, adalah menguntungkan untuk eksport. 

 

"Khususnya, sektor E&E akhirnya pulih kepada 2.1% pada 2Q2024 (1Q2024: -5.8%) selepas mengalami penuncupan empat suku tahun berturut-turut," jelasnya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, sektor perkhidmatan kekal kukuh berikutan Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI)yang lebih tinggi dan penambahbaikan perlahan dalam sektor pelancongan. 

 

"Untuk makluman, Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong asing, dengan jumlah sekitar 9.5 juta untuk lima bulan pertama tahun 2024, mewakili peningkatan sebanyak 27% tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

 

"Kami percaya bahawa paras kadar dasar semalaman (OPR) semasa terus menyokong ekonomi, yang akan membantu meningkatkan pertumbuhan sepanjang suku tahun ini. Kami berpendapat jualan kenderaan pada 2Q2024 adalah memuaskan dalam persekitaran kadar faedah yang stabil," ujarnya. - DagangNews.com