AmInvestment kekalkan saranan 'overweight' bagi sektor minyak dan gas, jangka aliran kontrak kukuh pada suku keempat 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment kekalkan saranan 'overweight' bagi sektor minyak dan gas, jangka aliran kontrak kukuh pada suku keempat 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor minyak dan gas selepas syarikat di bawah liputannya mencatat prestasi seimbang pada suku ketiga tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata prestasi lima daripada lapan syarikat adalah dalam jangkaannya iaitu Bumi Armada, Deleum, Kumpulan Dialog, MISC dan Petronas Gas, sementara Hibiscus Petroleum dan Yinson melebihi jangkaan dan Petronas Chemicals lebih lemah daripada jangkaan.

 

Oleh yang demikian, pilihan utama firma itu untuk sektor ini kekal pada Dialog (beli, nilai saksama [FV]: RM3.46) yang disokong oleh terminal tangki bukan kitaran yang berdaya tahan dan operasi berasaskan penyelenggaraan.

 

Yinson (beli, FV: RM3.96) turut menjadi pilihan utama AmInvestment memandangkan ia adalah penerima utama kitaran naik unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO).

 

"Kami juga menyukai Petronas Gas (beli, FV: RM19.97) kerana ia menawarkan hasil dividen lumayan sebanyak 4.7%, yang boleh dinaikkan lagi daripada pengoptimuman struktur modalnya dengan pendapatan berulang mampan untuk operasi pengangkutan dan pemprosesan gasnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, pemberian kontrak kepada syarikat minyak dan gas Malaysia tersenarai pada suku ketiga tahun ini berkurangan separuh disebabkan anugerah kontrak yang banyak seperti dalam suku sebelumnya tidak berulang.

 

"Kami menjangkakan untuk melihat aliran kontrak yang lebih kukuh secara bermusim pada suku keempat 2023, secara amnya sejajar dengan trend perbelanjaan modal (capex) suku tahunan Petronas," tambahnya.

 

Sementara itu, AmInvestment berkata prospek bagi pembekal peralatan dan perkhidmatan luar pesisir, termasuk pemain FPSO, dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh momentum kukuh dalam pembangunan dan aktiviti luar pesisir. 

 

Bagi harga minyak mentah Brent, firma itu mengunjurkan AS$83 setiap tong bagi 2023 dan AS$90 setiap tong untuk 2024 berbanding unjuran EIA dalam Tinjauan Tenaga Jangka Pendek EIA pada 2023 dan 2024 masing-masing pada AS$84 dan AS$93 setiap tong.

 

AmInvestment berkata ia terus melihat pasaran bekalan yang ketat menjelang akhir tahun berikutan pengurangan pengeluaran sukarela oleh OPEC+ hampir 2.5 juta tong sehari.

 

"Ini juga disokong oleh persekitaran permintaan kukuh kerana pemulihan China lebih berdaya tahan daripada jangkaan, menyebabkan Rystad Energy meningkatkan pertumbuhan permintaan 2023 kepada 2.5 juta tong sehari pada Oktober (berbanding 2.1 juta tong sehari sebelumnya) tanpa sebarang tanda kelemahan pada suku keempat tahun ini," tambahnya. - DagangNews.com