KUALA LUMPUR 13 Okt - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'jual' terhadap Hartalega Holdings Berhad dengan harga wajar (FV) RM1.40 sesaham.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan FY24 hingga FY26 dan pada masa sama menjangkakan penambahan semula inventori selain peningkatan harga purata jualan (ASP) pada suku pertama 2024.
Menurut kumpulan itu, ASP sarung tangan getah perubatan nitril biasa memuncak pada Julai 2023 pada harga AS$19 hingga AS$21 bagi setiap 1,000 keping dan menyusut kepada AS$17 hingga AS$18 bagi setiap 1,000 keping pada Oktober 2023, walaupun kos getah nitril meningkat sejak September lalu.
Katanya, pengeluar sarung tangan China menjual sarung tangan getah perubatan nitril biasa pada ASP kompetitif serendah AS$14 hingga AS$15 bagi setiap 1,000 keping (termasuk 7.5% tarif AS).
"Kami percaya ini disebabkan pesaing China yang cuba menguasai bahagian pasaran daripada pemain Malaysia dengan mengorbankan keuntungan.
"Intco Medical Technology (Intco) mengekalkan aliran tunai operasi separuh pertama yang positif dengan tunai bersih (pada 30 Jun 2023) kepada nisbah had pasaran semasa sebanyak 30%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
AmInvestment berkata, walaupun ASP diturunkan, mereka mendapati bahawa kadar penggunaan kilang Hartalega bagi 2QFY23 sepatutnya berada dalam julat 40% hingga 45% dan ia konsisten dengan penggunaan kilang Top Glove pada suku ketiga tahun ini pada 20% berbanding 21% dalam suku kedua.
"Ini mungkin disebabkan oleh pesanan penghijrahan kepada pemain yang berpangkalan di China memandangkan sarung tangan perubatan nitril biasa China masih berharga pada harga diskaun AS$3-AS$4 setiap 1,00 keping," katanya. - DagangNews.com








