AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Yinson susulan lanjutan kontrak FPSO Adoon | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Yinson susulan lanjutan kontrak FPSO Adoon

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Yinson Holdings Berhad dengan harga wajar (FV) RM3.61 terutama seepas mendapat lanjutan kontrak sementara bernilai RM16.04 juta untuk kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Adoon.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan untuk FY23-25 selepas mengambil kira lanjutan kontrak sewa pada kadar yang sama dengan kenaikan harga minyak mentah melebihi AS$90 (RM426) setong.

 

"Secara keseluruhan, kami berpandangan neutral terhadap lanjutan kontrak itu selain menjangkakan ia akan memberi kesan minimum terhadap untung bersih kumpulan itu pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Unit tidak langsung penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Adoon Pte. Ltd. dan Addax Petroleum Development (Nigeria) Ltd.  bersetuju untuk melanjutkan kontrak dari 17 Oktober hingga 16 November 2022 dan Addax merupakan anak syarikat China Petroleum & Chemical Corporation (Sinopec).

 

Segala terma di bawah pelanjutan kontrak kekal tidak berubah dan FPSO Adoon ditempatkan di padang Antan, di luar Nigeria.

 

Yinson mencatatkan keuntungan bersih RM263 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai, lebih tinggi daripada RM238 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya. 

 

Hasil enam bulan juga meningkat kepada RM2.625 bilion, daripada RM2.05 bilion.

 

Firma itu berkata, walaupun tempoh lanjutan itu adalah singkat tetapi ia berkemungkinan memberi masa tambahan kepada pelanggan untuk merundingkan semula kadar pegangan dan piagam, membuka laluan kepada kitaran lanjutan seterusnya.

 

Selain itu, firma itu juga ambil perhatian bahawa pelanggan boleh memilih untuk memperoleh kapal dengan menggunakan pilihan pembelian dalam perjanjian.

 

"Kami menjangkakan Yinson akan merekodkan keuntungan kecil daripada pelupusan sekiranya pelanggan memilih untuk memperoleh FPSO," katanya. - DagangNews.com