AmInvestment kekal jangkaan pertumbuhan pinjaman antara 4% hingga 5% pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment kekal jangkaan pertumbuhan pinjaman antara 4% hingga 5% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - AmInvestment Bank Research mengekalkan jangkaan pertumbuhan pinjaman antara 4% hingga 5% pada tahun ini disokong perkembangan positif dalam pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah.

 

Katanya, pinjaman industri berkembang sebanyak 5.7% pada Januari 2024 berbanding 5.3% pada Disember 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat kepada 6.1% pada Januari 2024 berbanding 5.8% pada Disember 2023, disokong pertambahan dalam pinjaman pembelian kenderaan, pinjaman peribadi dan kad kredit terkumpul.

 

Sementara itu, pertumbuhan dalam pinjaman bukan isi rumah meningkat kepada 5.1% pada Januari 2024 berbanding 4.5% pada Disember 2023, disumbangkan oleh pengembangan berterusan dalam pinjaman modal kerja.

 

"Mengikut segmen, peningkatan itu didorong oleh kadar pembiayaan yang lebih kukuh kepada sektor perlombongan, pembuatan, pemborongan, restoran, hotel, hartanah, pembiayaan, insurans, perkhidmatan perniagaan, isi rumah dan lain-lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, pertumbuhan deposit menyederhana kepada 5.2% pada Januari 2024 berbanding 5.6% pada Disember 2023.

 

Katanya, nisbah pembayaran pinjaman (LD) bagi sektor itu terus meningkat kepada 86% manakala nisbah pinjaman kepada dana/pinjaman kepada dana dan nisbah ekuiti sektor itu meningkat kepada 87.2%/75.9% pada Januari 2024 berbanding 81.8%/71.6% pada Disember 2023.

 

Nisbah perlindungan kecairan (LCR) sektor menyusut sedikit kepada 160% pada Januari 2024 berbanding 161% pada Disember 2023 disebabkan LCR pelaburan dan perbankan Islam yang rendah manakala nisbah lebih tinggi untuk bank perdagangan.

 

"Pertumbuan akaun simpanan akaun semasa (CASA) terus meningkat untuk bulan keempat berturut-turut bagi mencatatkan pertumbuhan 5.1% pada Januari 2024, meningkat berbanding 3.7% pada Disember 2023.

 

"Ini membawa kepada peningkatan dalam nisbah CASA sistem perbankan kepada 29.8% pada awal tahun ini," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan saranan 'neutral' berdasarkan tekanan makaroekonomi, ketegangan geopolitik yang berterusan, tekanan ke atas kos pembiayaan dalam jangka pendek dan ketidaktentuan dalam hasil yang berkemungkinan memberi kesan kepada pendapatan serta pelaburan pada 2024.- DagangNews.com