KUALA LUMPUR 6 Mac - AmInvestment Bank Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Guan Chong Bhd kesan daripada kenaikan harga koko dan hasil pengeluaran yang lemah.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi oleh penagguhan penghantaran disebabkan kebimbangan pelanggan terhadap harga koko yang tinggi.
"Harga koko meningkat hampir tiga kali ganda kepada AS$6,590 bagi setiap tan sejak Mac 2023, dan dipercayai akan terus meningkat memandangkan hasil yang rendah di Afrika Barat akibat cuaca, penyakit buah dan virus.
"Keadaan itu akan terus menjejaskan margin kumpulan dan terus terjejas oleh hasil pengisaran produk koko yang lemah," katanya dalam satu nota kajian.
Terahulu, pendapatan kumpulan sebanyak RM101 juta pada FY23 gagal mencapai jangkaan firma itu, ia berada 20% di bawah ramalan dan 26% daripada unjuran konsensus.
Keadaan itu berpunca daripada kos kewangan serta kos operasi yang lebih tinggi.
Hasil kumpulan itu bagi FY23 melonjak sebanyak 21% akibat harga jualan koko yang tinggi bagaimanapun pendapatan mereka susut 32% dipengaruhi margin pengisaran yang lebih rendah selain kos kewangan yang meningkat pada kadar faedah yang tinggi.
Pendapatan 4QFY23 sebanyak RM34 juta merosot sebanyak 55% walaupun pertumbuhan hasil 40%, terjejas teruk oleh kos faedah yang lebih tinggi dan peningkatan kadar cukai berkesan sebanyak 52% berbanding 19% pada 3QFY23.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan nilai wajar (FV) lebih rendah sebanyaj RM1.49 berbanding RM2.29 sesaham sebelum ini memandangkan kos bahan mentah yang tidak stabil.
"Nilai wajar yang lebih rendah itu berpunca daripada pengurangan unjuran untung bersih FY24-FY25 antara 13% hingga 19% bagi mengambil kira hasil pengisaran yang lebih rendah yang dipengaruhi oleh kos bahan mentah yang lebih tinggi dan andaian kadar faedah yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com








