AmInvestment jangka harga premium polisi insurans terus meningkat didorong kenaikan caj hospital, kos ubat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment jangka harga premium polisi insurans terus meningkat didorong kenaikan caj hospital, kos ubat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) menjangkakan syarikat insurans hayat atau takaful terus menyemak naik permium atau caruman untuk polis baharu dan sedia ada secara beransur-ansur berdasarkan kenaikan caj hospital serta kos ubatan.

 

Firma itu berkata, tuntutan perubatan dijangka terus meningkat pada separuh kedua dengan lebih ramai pesakit mahu mendapatkan rawatan perubatan selepas pandemik COVID-19.

 

"Nisbah tuntutan untuk insurans am sudah kembali normal didorong nomalisasi tuntutan kenderaan bermotor selepas pembukaan semula ekonomi negara.

 

"Walaupun terdapat tekanan ke atas nisbah tuntutan kebakaran serta kelas perniagaan marin, penerbangan dan transit (MAT) pada separuh pertama tahun ini, kami tidak menjangkakan nisbah tuntutan keseluruhan untuk insurans/takaful am meningkat pada 2023 berbanding 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada 1 Julai Fasa 2B detarifikasi akan bermula yang akan menyaksikan fleksibiliti harga yang lebih besar untuk produk motor.

 

Dalam Fasa 2B, katanya, harga bagi kedua-dua produk tarif kebakaran dan bukan tarif akan tertakluk kepada tidak lebih daripada -30% daripada tarif kebakaran 2.0 yang disemak semula.

 

"Pada masa yang sama, julat harga untuk produk motor akan dinaikkan 20%.

 

"Kami terus melihat liberalisasi harga secara beransur-ansur untuk mengenakan tekanan harga pada insurans motor dan kebakaran.

 

"Bagaimanapun, tekanan harga untuk segmen motor, yang sudah mempunyai margin kecil, akan lebih rendah daripada insurans kebakaran," katanya.

 

Allianz Malaysia dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga merupakan pilihan utama.

 

Firma itu menyukai Allianz Malaysia kerana anak syarikatnya, Allianz General Insurance Company (AGIC) penguasaan dan bahagian pasaran yang stabil sebanyak 13.3%, kedudukan no.1 dalam industri insurans am.

 

"Kami terus melihat bahawa kumpulan itu dapat menahan persaingan harga daripada liberalisasi beransur-ansur tarif kebakaran dan motor serta penyatuan pemain dalam industri," katanya. - DagangNews.com