KUALA LUMPUR 20 Jun – AmInvest Research positif terhadap tanah baharu Mah Sing di Semenyih yang akan membantu mengekalkan pendapatan pembangunan hartanah kumpulan dalam jangka sederhana memandangkan harga pengambilalihan adil dan produk adalah mampu milik.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) 89 sen sesaham daripada 87 sen sesaham sebelumnya, selepas mengambil kira sumbangan tanah baharu tersebut ke dalam pengiraan aset bersih dinilai semula (RNAV).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Mah Sing berkata ia telah memeterai tiga perjanjian jual beli antara syarat dengan Petaling Garden, anak syarikat SP Setia Berhad, untuk memperoleh beberapa bidang tanah pegangan bebas seluas 500 hektar yang terletak di Semenyih, Mukim Beranang, Daerah Ulu Langat, Selangor dengan harga RM392 juta.
“Sambil mengekalkan pendapatan tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/FY24), kami meningkatkan keuntungan bersih teras FY25 sebanyak 1% untuk mengambil kira sumbangan pendapatan daripada tanah Semenyih yang diambil alih,” kata firma itu dalam nota hari ini.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion, menurut firma itu, harga pembelian tanah diterjemahkan kepada RM18 kaki persegi dan nisbah kos-kepada-GDV tanah adalah 12%, lebih rendah daripada nisbah purata kos-kepada-GDV tanah industri sebanyak 15 hingga 20%.
BACA: Mah Sing beli tanah di Semenyih untuk bangunkan perbandaran bersepadu dengan GDV RM3.3 bilion
“Harga yang diminta untuk tanah di sekitar tanah Semenyih adalah dari RM15 hingga RM35 setiap kaki persegi. Oleh itu, kami menganggap harga pengambilalihan adalah adil,” tambahnya.
Dengan mengandaikan pengambilalihan itu dibiayai oleh gabungan pinjaman (80%) dan tunai (20%) berdasarkan campuran pembiayaan sejarahnya untuk pengambilan tanah, firma itu menjangkakan nisbah penggearan bersih FY24 kumpulan meningkat kepada 0.32 kali daripada 0.22 kali apabila pembelian selesai.
Di samping itu, AmInvest menganggarkan sumbangan dalam FY24/FY25 diabaikan, dengan pendapatan beransur-ansur meningkat kepada 10% daripada FY27 kepada FY32 memandangkan projek ini dijadualkan untuk bermula dalam suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) dan akan dibangunkan dalam tempoh 8 hingga 10 tahun.
“Memandangkan harga tanah yang adil dan produk mampu milik, kami positif pengambilalihan akan membantu mengekalkan pendapatan pembangunan hartanah Mah Sing dalam jangka sederhana,” jelasnya.
Pada waktu penulisan, saham Mah Sing menokok 1.5 sen atau 2.5% kepada 61.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.5 bilion. -DagangNews.com








