KUALA LUMPUR 10 Ogos - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) menyasarkan pembaharuan 100% untuk 12 pajakannya yang tamat tempoh pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) bagi memperkukuhkan pendapatan masa hadapannya.
Daripada 12 pajakan berkenaan, AME REIT telah berjaya memperbaharui pajakan dengan lima penyewa sedia ada, memperoleh seorang penyewa gantian dan mengesahkan pembaharuan pajakan dengan enam penyewa sedia ada, yang akan dimuktamadkan menjelang akhir FY24.
Dengan ini, I REIT Managers Sdn Bhd, syarikat pengurusan AME REIT berkata ia berada di landasan untuk kadar penghunian 100% merentasi semua hartanah perindustriannya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers, Chan Wai Leo berkata syarikat yakin bahawa kedudukan kukuhnya sebagai pengurus aset yang inovatif dan pertambahan nilai akan menjadi petanda baik dalam mengekalkan penyewa pada kadar sewa lebih baik, sekali gus meningkatkan kestabilan pendapatan.

"Sebagai sebahagian daripada penyedia penyelesaian ruang industri bersepadu melalui penaja kami AME Elite Consortium Bhd, kami mempunyai keupayaan dan kepantasan untuk bekerja secara proaktif dengan penyewa untuk menyesuaikan keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut beliau, AME REIT kini mempunyai 36 hartanah dalam portfolionya, dengan pengambilalihan hartanah perindustrian lain mengikut jadual untuk siap pada FY24, yang akan menjadikan jumlah nilai pelaburan hartanah AME REIT kepada RM668 juta, dengan semua hartanah memiliki penghunian penuh.
Selain itu, AME REIT sedang mencari hartanah baharu di Johor, Lembah Klang dan wilayah utara untuk mengukuhkan lagi asas asetnya.
“Dalam hal ini, kami menyasarkan pengambilalihan bernilai kira-kira RM100 juta untuk mengembangkan portfolio kami dan terus mengukuhkan reputasi kami sebagai REIT perindustrian terkemuka di Malaysia,” ujar beliau.
Mengulas berkenaan prospek, Chan berkata prospek positif Malaysia menyediakan landskap optimistik bagi sektor perindustrian untuk berkembang maju dan AME REIT berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini.
Pada waktu penulisan, AME REIT didagangkan pada RM1.25, menokok 3 sen atau 2.46% dengan permodalan pasaran sebanyak RM652.6 juta. - DagangNews.com








