AmBank Group sasar pengeluaran pinjaman berkembang sebanyak RM7 bilion pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmBank Group sasar pengeluaran pinjaman berkembang sebanyak RM7 bilion pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos -  AmBank Group menyasarkan pengeluaran pinjaman berkembang sebanyak 6% yang mencecah sehingga RM7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, unjuran tersebut berdasarkan kepada aset-aset bank itu yang bernilai RM130 bilion.

 

“Kebiasaannya angka penyaluran pembiayaan tahunan kami melebihi angka keluaran dalam negara kasar (KDNK). 

 

"Justeru, FY24 kami sasar pertumbuhan 6% atau kira-kira RM6 bilion hingga RM7 bilion," katanya kepada media selepas Persidangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) AmBank Group, hari ini.

 

Simposium ESG Antarabangsa AmBank Group menampilkan lima perbincangan panel yang diketuai oleh kepimpinan kumpulan perbankan itu bersama peneraju kemampanan luaran daripada Suruhanjaya Sekuriti, World Bank, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), Pantas, Huawei Malaysia dan pengurus syarikat terkemuka.

 

Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2023, AmBank Group mencatatkan pertumbuhan pinjaman 8.5% iaitu RM10.2 bilion kepada RM130.2 bilion bagi semua segmen.

 

Mengulas selanjutnya, Sulaiman berkata, kumpulan itu juga menyasarkan untuk menggandakan pembiayaan hijau bagi FY24 daripada RM2 bilion yang diagihkan pada tahun lepas.

 

Beliau berkata, pembiayaan bagi segmen kenderaan elektrik (EV) berjumlah RM100 juta juga dijangka berkembang secara ketara pada tahun ini berikutan penyertaan banyak pemain EV terkemuka ke Malaysia, termasuk Tesla Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat serta BYD Co. Ltd. dari China.

 

"Pinjaman hijau untuk bangunan seperti pangsapuri dan gudang, serta pengangkutan dan logistik juga akan menjadi penyumbang segmen utama tahun ini," katanya.

 

Terdahulu pada majlis itu, AmBank telah memeterai memorandum persefahaman dengan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam usaha menyokong pengenalan berkaitan tenaga solar, pusat data hijau, pengecasan EV dan penyelesaian penyimpanan tenaga.

 

Kerjasama itu menjurus kepada kerjasama antara kedua-dua pihak bagi memperkenalkan Tenaga Solar, Pusat Data Hijau, Kemudahan Pengecasan kenderaan EV dan Penyelesaian Penyimpanan Tenaga.

 

Melalui perkongsian strategik itu, AmBank Group akan menyediakan penyelesaian pembiayaan dan perniagaan pedagang kepada semua pengedar Huawei. - DagangNews.com