KUALA LUMPUR 5 Julai - Sejumlah 62 orang pelajar asnaf dan B40 di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima sumbangan wang tunai RM100 daripada Pusat Perhubungan Alumni UPM.
Menurut satu kenyataan media hari ini, sumbangan tersebut diagihkan dalam Program Tautan Kasih Alumni pada 26 Jun 2023 yang lalu di Foyer Taklimat UPM, Serdang.
“Sumbangan peribadi ini adalah usaha untuk membantu alma mater menyantuni pelajar yang memerlukan bantuan terutamanya mereka yang menetap di kolej kediaman sekitar kampus Serdang,” katanya.
Jelasnya, sumbangan tersebut adalah daripada alumni UPM iaitu Dr. Hamisah Hassan dan Che Wan Mohd Zuhaimi Che Wan Hussain dan telah disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Roslan Sulaiman.
Selain itu, Pusat Perhubungan Alumni UPM turut menyumbang komputer riba kepada lebih 20 pelajar asnaf berkelayakan.
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud mengulas bahawa sebarang bentuk sumbangan daripada alumni pasti akan disalurkan dan diserahkan kepada pelajar yang memerlukan dengan segera.
“Setiap sumbangan alumni tidak kira kecil ataupun besar, perlu segera disampaikan dan diagihkan kepada para pelajar kerana alumni ingin tahu ke mana sumbangan mereka telah disalurkan.
“Ini adalah kepercayaan yang telah diberikan oleh alumni dan setelah kepercayaan ini wujud, maka hubungan yang terjalin atas dasar ini akan terus menjadi magnet untuk menarik alumni lain turut kembali menyumbang dan terus memberi manfaat kepada universiti dan pelajar,” ujar beliau.
Menurut UPM, usaha tersebut sejajar dengan Naratif Naib Canselor UPM 2023, iaitu ikhtiar ketujuh Menyatu Kekuatan Alumni, di mana peranan alumni adalah aspek terpenting untuk bersama-sama membawa universiti ke arah kecemerlangan malah untuk mencapai visi UPM menjadi universiti bereputasi antarabangsa.
UPM berkata kecaknaan alumni terhadap keperluan pelajar yang menjadi generasi pelapis yang bakal meneruskan visi dan misi universiti menjadikan gerak kerja ke arah kecemerlangan akan menjadi lebih mudah.
“Sumbangan daripada alumni merupakan satu usaha yang bukan sahaja dilakukan oleh UPM malahan perlu dilakukan oleh seluruh universiti awam dan juga swasta di Malaysia dalam usaha pembangunan modal insan dan kelangsungan universiti memberikan pendidikan yang bertaraf antarabangsa kepada para pelajar,” tambahnya. - DagangNews.com







