KUALA LUMPUR 4 Sept - Alpha IVF Group Bhd menceburi perniagaan perubatan Filipina, menumpukan obstetrik, ginekologi dan kesuburan serta membentuk perkongsian dengan dua doktor dari negara itu.
Perjanjian pemegang saham telah ditandatangani antara anak syarikat milik penuhnya, Alpha IVF Systems Sdn Bhd (AIS) yang diwakili oleh dua pengarah eksekutif Alpha IVF Datuk Dr Lee Soon Soo dan Dr Ng Peng Wah, bersama Dr Romerico F. Torres dan Dr Maria Victoria Tan dari Filipina.
Usahasama itu akan dikenali sebagai Alpha IVF (Manila) Incorporated (AIMI).
Alpha IVF akan melabur RM8.74 juta ke dalam AIMI melalui kutipan tawaran awam permulaan (IPO) atau tunai yang dijana secara dalaman, menjadikannya pemegang saham awal sebanyak 90.98%.
Lee dan Ng masing-masing akan mempunyai kepentingan ekuiti sebanyak 0.01% atau RM961 yang akan dibayar daripada poket mereka sendiri.
Romerico dan Maria akan melabur RM1.01 juta dan RM301,500, masing-masing.
Romerico pada mulanya akan memegang saham sebanyak 6%, yang akan meningkat kepada 10% setahun selepas usaha niaga Filipina itu memulakan operasi, Maria pula akan memiliki 3% saham usahasama itu.
Keempat-empatnya akan berkhidmat sebagai pengarah AIMI, dengan AIS bertindak sebagai pemilik benefisial.
Bagi penubuhan AIMI, AIS akan menyediakan perkhidmatan untuk memulakan operasi, memusatkan perkhidmatan pemasaran dan membangunkan perniagaan, hak penggunaan untuk sistem dan proses Alpha IVF, lesen, tanda dagangan dan hak cipta.
Alpha IVF Group sebagai syarikat induk AIS akan menawarkan perkhidmatan pengurusan berterusan kepada AIMI, manakala Romerico dan Maria akan mengendalikan operasi di lapangan dan memberikan nasihat untuk menyelaraskan dengan undang-undang dan peraturan tempatan di Filipina.
Perniagaan utama AIMI melibatkan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi serta kesuburan, yang akan dilabelkan di bawah nama dagang Alpha IVF & Pakar Wanita (Manila).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Kumpulan Alpha IVF berkata, perjanjian itu dijangka tidak memberi kesan ketara ke atas pendapatan sesaham, nilai aset bersih atau penggearan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025. - DagangNews.com








