Alliance Bank, Sedania lancar program pembiayaan penuh untuk bantu PKS jadi organisasi tenaga mampan | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank, Sedania lancar program pembiayaan penuh untuk bantu PKS jadi organisasi tenaga mampan

(Dari kiri) Raymond Chui Keng Leng, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim dan Daniel Ruppert pada majlis menandatangani MoU antara Alliance Bank dan Sedania, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - Alliance Bank Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Sedania Technologies Sdn Bhd melancarkan program pembiayaan penuh dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi organisasi tenaga mampan.

 

Di bawah MoU itu, Sedania akan menanggung kos perbelanjaan awal dan memberi nasihat kepada pelanggan PKS Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank yang layak berkenaan naik taraf pejabat atau bangunan, termasuk penyaman udara pintar cekap tenaga, pengawal pintar dan rumusan pencahayaan.

 

Ketua Kumpulan PKS dan Pegawai Perbankan Komersial Alliance Bank, Raymond Chui Keng Leng berkata, program inovatif ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang berpotensi mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20% dan membantu mengelakkan 25 juta tan pelepasan karbon di Malaysia setahun. 

 

Katanya, ia adalah selaras dengan ACCELER8 2027, pelan strategi 4 tahun yang menggariskan 8 tonggak pertumbuhan yang turut memberi tumpuan kepada memacu kemajuan ESG kukuh dalam kalangan pemegang kepentingan bank dan menyumbang secara positif ke arah membina komuniti dan dunia lebih mampan untuk generasi akan datang. 

 

"Di bawah strategi ini, kami sedang membina ekosistem yang mampan melalui perkongsian dengan pemimpin industri pembuat dasar ESG, badan pensijilan (UNGC, MGTC, Bursa) dan syarikat yang menyediakan produk dan perkhidmatan hijau.

 

"Ia untuk menawarkan sokongan kepada PKS melalui pendekatan "3A" (Advokasi, Nasihat dan Jawapan) yang mengesyorkan satu set rumusan ESG kewangan dan bukan kewangan untuk membantu PKS berjaya mengamalkan amalan mampan dalam perniagaan mereka. 

 

"Dengan bekerjasama dengan Sedania, kami boleh menerajui industri perbankan sebagai penggerak ESG, membolehkan kami memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan PKS dengan menyediakan rumusan pantas, mudah dan diperibadikan yang memenuhi keperluan pembiayaan serta pematuhan ESG mereka yang semakin meningkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

alliance

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania Innovator Bhd, Daniel Rupert berkata, PKS di Malaysia menyumbang sekitar 70% daripada semua pelepasan karbon dan pada masa yang sama, PKS amat keberatan untuk mengamalkan amalan ESG disebabkan kos. 

 

"Dalam program ini, PKS mendapat pengurangan kos dan peralatan pejabat baharu dengan kos ditanggung oleh Sedania, Bank mempunyai tawaran perkhidmatan nilai tambah baharu yang melangkaui perkhidmatan perbankan konvensional, dan persekitaran mempunyai kurang pelepasan karbon. 

 

"Program ini akan menunjukkan bahawa pematuhan ESG boleh dicapai dengan faedah ketara dan tanpa kos tambahan," katanya. - DagangNews.com