Alliance Bank perkenal kad kredit maya dengan ciri dipertingkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alliance Bank perkenal kad kredit maya dengan ciri dipertingkat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Alliance Bank Malaysia Bhd terus meningkatkan usaha untuk mengukuhkan sistem keselamatan transaksi digital dengan memperkenalkan nombor kad dinamik bagi kad kredit Visa Maya Alliance Bank. 

 

Menerusi kerjasama dengan Visa Malaysia, CTOS Digital Bhd, Jirnexu (RinggitPlus), YTL Communications dan Touch ‘N’ Go Digital, penyelesaian pembayaran yang baharu ini bukan sahaja menjadikan transaksi dalam talian lebih selamat, malah meningkatkan lagi pengalaman pemegang kad kredit secara keseluruhan.

 

Alliance Bank dalam kenyataan berkata, ciri dipertingkatkan ini menjana nombor kad kredit 16 digit secara rawak bagi setiap transaksi termasuk transaksi e-dagang, perkhidmatan penstriman dan langganan bagi memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup pelanggan.

 

Katanya, sebagai sebahagian daripada strategi Acceler8 Alliance Bank, pihaknya akan terus memacu transformasi digital untuk memberikan penyelesaian yang lebih pantas, lebih baik dan lebih peribadi kepada pelanggan.

 

"Nombor kad dinamik sekali guna ini menawarkan cara yang lebih selamat dan lebih dilindungi bagi membuat pembelian harian dan meminimumkan risiko penipuan, kecurian identiti dan penipuan kewangan lain yang dihadapi pelanggan.

 

"Tambahan pula, ia turut membawa impak yang positif kepada alam sekitar kerana langkah ini mengurangkan pengeluaran kad kredit plastik dan membantu mengurangkan jejak kad kredit pada saluran dalam talian," katanya.

 

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, pihaknya sentiasa membawa pembaharuan dan menambah baik penyelesaian digital untuk memenuhi keperluan perbankan pelanggan yang sentiasa berkembang dan juga menyediakan pengalaman pembayaran digital yang lancar. 

 

Katanya, ciri baharu baharu pada kad kredit maya Alliance Bank Visa memberikan ketenangan fikiran yang lebih lagi kepada pelanggan kami melalui pilihan pembayaran yang lebih selamat. 

 

"Ciri ini menangani kebimbangan terhadap pelanggaran data kad kredit di tapak pihak ketiga apabila pelanggan membuat transaksi secara dalam talian," katanya.

 

Pengurus Visa Malaysia, Ng Kong Boon pula berkata, berikutan semakin ramai rakyat Malaysia menyertai perkembangan urus niaga perdagangan digital, pihaknya percaya mereka perlu merasa selamat dan diperkasakan semasa membuat pembayaran secara digital. 

 

"Oleh demikian, kami telah bekerjasama dengan Alliance Bank untuk membawa penyelesaian nombor kad dinamik bagi kad kredit maya," katanya.

 

Beliau juga berharap pengguna dapat merasa lebih yakin semasa membeli-belah dan membuat pembayaran mereka melalui dalam talian. - DagangNews.com